'Antara saya dengan dia? Saya fikir adalah normal… dia buat hal dia, saya buat hal saya.'
Itu reaksi selamba juara keseluruhan AS1000 FIM Asia Road Racing Championship 2025, Hafizh Syahrin Abdullah ketika ditemu bual di Litar Antarabangsa Sepang menjelang pusingan pembukaan musim 2026.
Advertisement
Pelumba JDT Racing Team itu memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu membabitkan Zaqhwan Zaidi, sebaliknya mengambil pendekatan lebih profesional dengan memberi fokus sepenuhnya kepada saingan musim baharu.
Tindakan itu hadir susulan insiden pelanggaran antara kedua-dua pelumba pada edisi lalu di Sepang yang mencetuskan perhatian ramai. Namun, Hafizh dilihat lebih matang dalam mengurus situasi apabila enggan terus terperangkap dalam polemik berkenaan.
“Bagi saya, perkara itu sudah berlalu. Sekarang fokus saya hanya pada perlumbaan dan pasukan,” katanya.
Menggalas status juara bertahan, Hafizh kini memasang misi lebih besar untuk mempertahankan kejuaraan serta memburu kejayaan berganda musim ini.
Dia turut menekankan kepentingan konsistensi serta peningkatan aspek teknikal jentera sebagai kunci utama untuk kekal kompetitif sepanjang musim.
“Kami sudah buat persiapan rapi, terutama dari segi jentera dan strategi. Sasaran saya jelas, mahu bermula dengan baik dan kekal di kelompok hadapan,” tambahnya.
Dengan semangat baharu dan pendekatan lebih tenang, Hafizh optimis mampu mencabar kedudukan teratas serta merealisasikan sasaran podium berganda seawal pusingan pertama di Sepang hujung minggu ini.
Pendekatan profesional yang ditampilkan bekas pelumba MotoGP itu juga memberi isyarat jelas bahawa fokus dan disiplin menjadi kunci utama dalam usahanya untuk terus mengungguli arena perlumbaan Asia.