Tutup sudah tirai Kejohanan Golf Amatur Selangor 2026 hari ini yang menyaksikan Rizq Adam Rohizam muncul juara saingan lelaki, sementara Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani mengungguli saingan wanita.
Bagi Pengarah Kejohanan Golf Amatur Selangor, Azemi Jusoh, edisi kali ini menampilkan lonjakan prestasi yang sangat signifikan berbanding edisi 2025.
Dan ia juga menjadi medan penting buat atlet-atlet muda ini persiapkan diri ke Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.
"Seramai 50 pemain Sukma menyertai kejohanan ini sebagai pemanas badan.
"Prestasi keseluruhan pada tahun ini jauh lebih baik daripada yang lalu," katanya.
Sementara itu, olimpian negara, Gavin Green, yang juga turut terlibat dalam program bersama skuad golf remaja Selangor menganggap kejohanan ini menjadi platform yang sangat baik buat atlet muda, lebih-lebih lagi apabila mereka tampil dengan persembahan menakjubkan.
"Sudah agak lama saya tidak beraksi di sini.
"Perkembangan sukan ini tampak positif dan saya berharap dapat membantu pemain muda untuk terus meningkat.
"Kita mempunyai pemain berbakat dan berdasarkan catatan yang rendah, bukan sahaja pemain lelaki malah wanita sekalipun.
"Apa pun, mereka perlu terus membuktikannya dalam kejohanan yang disertai," katanya pula.