Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu siaran media sebentar tadi berkata badan pengelola itu mengambil maklum mengenai tindakan sekumpulan individu yang mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat MFL semalam.
"MFL menghormati hak setiap pihak untuk menyuarakan sebarang pandangan namun sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, reputasi industri bola sepak tempatan serta mencetuskan persepsi negatif terhadap ekosistem bola sepak negara adalah tidak wajar," kata kenyataan itu.
Advertisement
"Sebagai badan pengelola liga profesional negara, MFL sentiasa komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan peraturan pertandingan serta mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kelab, pemain, penyokong dan rakan industri.
"MFL menyeru semua pihak agar menyalurkan sebarang pandangan atau ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul demi memastikan keharmonian dan imej bola sepak negara terus terpelihara."
Dalam pada itu, MFL juga menjelaskan mengenai isu empat pemain yang diiktiraf sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia biarpun dipalit dengan skandal pemalsuan dokumen.
"Berkenaan dengan isu yang dibangkitkan oleh sekumpulan individu terbabit, MFL menjelaskan bahawa proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan adalah dua perkara berbeza.
"Proses pengesahan status dan pendaftaran pemain naturalisasi di dalam Liga Malaysia adalah seperti yang dijelaskan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah Perkara 4.5.9.
"Bagaimanapun bagi pendaftaran pemain dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, dan seorang pemain Kuching City, Gabriel Palmero, jelas mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan yang sah sebagai warganegara Malaysia, yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Ini adalah dengan merujuk kepada Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, di bawah 01 Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran Dan Perpindahan Pegawai Dan Pemain; 3.3 Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT); Perkara C, Pemain Tempatan Dan Asing iaitu mewajibkan salinan kad pengenalan berwarna ATAU salinan pasport berwarna.
"Sepertimana kenyataan media MFL pada 13 Mac lalu, empat pemain tersebut telah didaftarkan dalam Liga Malaysia sebagai pemain tempatan dan bukan pemain naturalisasi.
"Sebagai pemain tempatan, keempat pemain ini boleh didaftarkan terus bagi saingan Liga Malaysia 2025-2026, di mana Figueiredo, Irazabal dan Hevel didaftarkan pada tempoh pertama pendaftaran pemain 9 Jun-31 Ogos 2025 oleh JDT manakala Palmero, yang ketika itu dibebaskan sementara daripada hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), didaftarkan oleh Kuching City FC pada tempoh kedua pendaftaran pemain 5 Januari-1 Februari 2026.
"Malah keputusan MFL untuk mengiktiraf pemain berkenaan sebagai pemain tempatan turut diperakui oleh AFC menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor Paul John pada 13 Mac lalu dengan menjelaskan bahawa tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil kerana ia mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia."