Pengarah Teknikal Akademi Villarreal Malaysia, Richard Scully, melahirkan kebimbangan terhadap kelangsungan pembangunan bola sepak akar umbi susulan penangguhan dana berjumlah RM18 juta.
Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari, yang melihat penyaluran dana tersebut perlu selaras dengan keadaan semasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang ketika ini dianggap tidak stabil.
Advertisement
Walaupun keputusan tersebut mempunyai rasional tersendiri dari sudut tadbir urus, Richard berpandangan kelewatan penyaluran dana boleh memberi kesan langsung kepada kesinambungan program pembangunan bakat muda.
“Jika berlaku jurang dalam pelaksanaan program, kesannya bukan jangka pendek. Kita mungkin kehilangan satu generasi pemain berbakat,” katanya.
"Pembangunan ini bukan sahaja menjejaskan NFDP namun ia melibatkan program pembangunan di seluruh negara."
Richard yang juga bekas pembimbing jurulatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mendedahkan pembentangan hala tuju NFDP dua minggu lalu mewajibkan penganjuran Liga Negeri Kebangsaan sebagai antara medium utama pencarian dan pembangunan bakat muda.
Liga tersebut dirangka sebagai platform sistematik untuk mengenal pasti pemain berpotensi dari seluruh negara, sekali gus memastikan rantaian pembangunan tidak terputus dari peringkat akar umbi hingga ke elit.
Namun, sekiranya dana RM18 juta tidak disalurkan, FAM dijangka berdepan kesukaran untuk mengagihkan peruntukan kepada 14 ahli gabungan negeri yang memerlukan bajet bagi melaksanakan program akar umbi berkenaan.
Bagi Richard, isu ini bukan sekadar soal kewangan, tetapi melibatkan masa depan ekosistem pembangunan bola sepak negara.
Beliau menegaskan, tanpa sokongan dana yang mencukupi, struktur pembangunan boleh menjadi tidak seimbang -- negeri yang mempunyai sumber kewangan sendiri mungkin terus bergerak, manakala negeri yang bergantung kepada dana pusat berisiko ketinggalan.
Dalam landskap bola sepak moden yang kompetitif, kelewatan satu musim pembangunan sahaja mampu mencipta jurang besar berbanding negara serantau.
Keputusan muktamad mengenai dana tersebut bakal menjadi penentu sama ada perancangan pembangunan bakat muda dapat diteruskan mengikut jadual, atau perlu distruktur semula demi menyesuaikan diri dengan realiti kewangan semasa.