Skip to main content

Bola Jaring

CelcomDigi NSL: Ada super shot, musim lebih mencabar!

NSL

CelcomDigi Netball Super League (NSL) 2026 secara rasmi dilancarkan dengan nafas baru, sekali gus memperkukuh statusnya selaku liga bola jaring profesional utama di Malaysia.

Saingan musim kelima yang bakal bermula dari 11 April hingga 17 Mei di Stadium Juara, Bukit Kiara, membabitkan lapan pasukan beraksi sebanyak 64 perlawanan sebelum diteruskan dengan 'Regional Cup' yang menghimpunkan pasukan jemputan dari Singapura dan Hong Kong bersama dua pasukan terbaik liga.

Advertisement

Lebih menarik, peraturan baru iaitu 'super shot' yang digunakan dalam liga elit antarabangsa turut diperkenalkan bagi meningkatkan intensiti permainan, pemarkahan serta keseronokan musim terkini.

"Super shot adalah zon tertentu pemain mendapat dua mata. Liga di United Kingdom (UK) dan Australia sudah memperkenalkan perkara ini.

"Kita mahu setaraf dengan liga antarabangsa.

"Jika semua ingat, jurang satu bagi menentukan kejuaraan musim lalu.

"Aspek kompetitif sangat penting walaupun persaingan pasukan kecil tapi mahukan saingan hebat," kata Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, menyifatkan penganjuran kali ini terus memberi impak yang cukup baik terhadap pembangunan sukan tersebut serta peningkatan prestasi pemain yang beraksi.

"Potensi sukan bola jaring besar.

"Saya berharap ia terus diiktiraf," katanya.

Kemasukan penaja utama dari syarikat telekomunikas-- CelcomDigi mencerminkan keyakinan sektor korporat terhadap potensi NSL sebagai platform pembangunan sukan khusus buat komuniti wanita selain memperkukuh ekosistem bola jaring negara ke tahap lebih tinggi.  

"Apa yang kami jangkakan sebagai rakan kongsi adalah terus memperkasa apa yang kami lakukan dalam sukan.

"CelcomDigi mempunyai platform dipanggil Arena CelcomDigi.

"Kami mahu membina siapakah 'Juara' yang seterusnya," kata Ketua Khidmat Jenama & Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling.

Must Watch Video