Apabila kita menyaksikan temasya sukan besar seperti Sukan SEA, tumpuan umum lazimnya terarah kepada atlet, pingat dan sorakan penyokong.
Kamera televisyen merakam aksi di gelanggang, sidang media dipenuhi wartawan, dan nama pemenang menjadi tajuk utama berita. Namun, di sebalik kelancaran setiap pergerakan delegasi, protokol rasmi dan urusan kenamaan, wujud satu pasukan kecil yang jarang diberi perhatian iaitu Liaison Officer (LO).
Advertisement
Ramai menganggap LO sekadar “pengiring tetamu”. Hakikatnya, tanggapan itu terlalu sempit. Dalam konteks pengurusan temasya sukan antarabangsa seperti SEA Games 2027, peranan LO sebenarnya jauh lebih besar dan strategik. Mereka ialah barisan hadapan perhubungan awam (frontliner public relations) yang membawa imej profesionalisme negara di mata dunia.
Setiap kali VIP atau VVIP luar negara menjejakkan kaki ke Malaysia, orang pertama yang mereka temui bukanlah pengarah atau jawatankuasa tertinggi penganjur tetapi LO. Pertemuan bermula daripada saat ketibaan di lapangan terbang, urusan protokol, logistik, jadual rasmi sehinggalah ke venue pertandingan, LO menjadi wajah awal yang membentuk persepsi mereka terhadap Malaysia.
Dalam dunia perhubungan awam, persepsi pertama ini amat kritikal. Satu kelewatan kecil atau kesalahan komunikasi boleh memberi kesan besar kepada reputasi negara. Justeru, LO bukan sekadar menyelaras pergerakan, tetapi bertindak sebagai penyelesai isu dan konflik, pengantara komunikasi dan pemudah cara hubungan diplomatik.
Secara praktikal, tugas LO sangat rencam dalam mengurus jadual yang padat, memahami keperluan protokol kenamaan, berhubung dengan pasukan keselamatan, penterjemah, urusan pengangkutan dan berhubung dengan sekretariat temasya. Dalam kebanyakan penganjuran sukan mega, peranan ini banyak dipelopori oleh skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang sememangnya terlatih dalam hal ehwal protokol, diplomasi dan pengurusan kenamaan. Kepakaran mereka memastikan setiap interaksi berjalan teratur, beretika dan profesional.
Saya sendiri pernah merasai tanggungjawab ini apabila diberi amanah sebagai Liaison Officer VVIP dan VIP semasa SEA Games 2017 di Kuala Lumpur. Pengalaman tersebut membuka mata saya bahawa tugas LO bukan hanya bersifat teknikal, tetapi sangat berkait rapat dengan seni perhubungan awam dalam membina kepercayaan, membaca situasi, dan menenangkan keadaan dalam tekanan masa dan persekitaran.
Ada ketika kita perlu bertindak pantas menukar jadual saat akhir, mengurus kehendak khas tetamu, atau menyelesaikan kekeliruan komunikasi antara delegasi dan penganjur. Setiap keputusan kecil memberi implikasi besar. Namun di situlah letaknya nilai profesionalisme seorang LO yang sentiasa tenang, berhemah dan berorientasikan solusi.
Antara kenangan paling bermakna buat saya ialah apabila menerima penghargaan bertulis daripada seorang VIP delegasi Filipina sebaik tamat temasya. Ucapan terima kasih dan penghargaan itu mungkin ringkas, tetapi ia membawa makna mendalam. Ia menjadi bukti bahawa layanan, keprihatinan dan komunikasi yang baik benar-benar memberi kesan kepada pengalaman tetamu negara.
Saat itulah saya sedar bahawa kejayaan seorang LO bukan diukur melalui sorakan penonton atau liputan media, tetapi melalui kepuasan hati pihak yang kita uruskan. Itulah kepuasan profesional yang sukar digambarkan.
Dalam era media sosial hari ini, setiap pengalaman tetamu boleh tersebar ke seluruh dunia dalam sekelip mata. Layanan baik menjadi promosi negara, manakala kecuaian boleh mencalar reputasi. Maka, LO sebenarnya memikul tanggungjawab besar sebagai penjaga imej dan diplomasi sukan negara.
Menjelang SEA Games 2027, sudah tiba masanya peranan Liaison Officer dilihat sebagai satu fungsi profesional yang setara dengan bidang perhubungan awam dan pengurusan acara, bukannya sekadar tugasan sampingan. Latihan sistematik, manual operasi standard dan pemahaman komunikasi strategik perlu diperkukuh agar setiap LO benar-benar bersedia menjadi duta kecil negara.
Kerana akhirnya, kejayaan sesebuah temasya bukan hanya diukur melalui jumlah pingat tetapi melalui bagaimana dunia mengingati layanan kita dan di sebalik setiap senyuman tetamu kenamaan itu, berdirilah seorang Liaison Officer bukan sekadar pengiring, tetapi tonggak perhubungan awam dan imej Malaysia.
Nul Widaya Mohamed Nawi,PhD
Pensyarah Kanan,
Program Komunikasi,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Malaysia Sabah (UMS)