"Saya melihat bayangan saya sendiri dalam diri Danish.
Prestasi memberangsangkan pelari muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, yang meraih pingat gangsa dalam Sukan SEA Thailand Disember lalu mencuri perhatian jaguh pecut, Azeem Fahmi, yang mengimbau kembali fasa awal perjalanan kariernya dahulu.
Advertisement
Ujarnya, meskipun Danish masih berada dalam fasa pembangunan dan penyesuaian, peningkatan yang ditunjukkan ketika ini disifatkan cukup menakjubkan dan membuka ruang keterujaan menjelang cabaran lebih besar, khususnya Sukan Asia Nagoya-Aichi serta Sukan Komanwel Glasgow 2026.
"Dia adalah masa depan buat negara.
"Dia merupakan atlet yang sangat bagus, berdisiplin dan bersemangat tinggi selain mahu mencapai kejuaraan tertinggi dalam karier.
"Mengenali dia (Danish), ia seperti memperingati diri saya sendiri sewatu di sekolah.
"Setakat ini, kami sempat bersaing antara satu sama lain sekali sahaja tahun lalu.
"Saya menanti masa untuk bergandingan bersama pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Nadi Arena.
Mengulas mengenai acara 60 meter yang mencatatkan 6.60 saat (s) dalam University of Alabama Birmingham (UAB) Blazer Invitational 2026 di Birmigham, dia menegaskan bahawa ia petanda positif buat dirinya,
Namun, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu mengakui saingan semakin sengit apatah lagi dengan kehadiran Puripol Boonson yang menjadi pelumba Asia Tenggara (ASEAN) pertama mencatat rekod bawah 10 saat iaitu 9.94 saat.
"Ia akan menjadi tahun yang sangat panjang buat saya.
"Perjalanan sebagai pelajar dan atlet menjadi 'highlight.
"Ini merupakan semester terakhir saya bersama Universiti Auburn. Perkembangan atlet pecut dalam benua Asia memang sangat hebat.
"Saya akan cuba yang terbaik dan mensasarkan untuk berada di atas podium tanpa mengira warna pingat," tambahnya,