Perancang tengah Real Madrid, Arda Guler, mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol sensasi daripada jarak hampir 70m (meter) ketika membantu Real Madrid menewaskan Elche 4-1 dalam aksi La Liga di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.
Jaringan luar biasa pemain kebangsaan Turkiye pada minit ke-89 itu bukan sahaja melengkapkan kemenangan Madrid, malah dilihat sebagai antara calon awal bagi Anugerah Puskas FIFA nanti.
Advertisement
Gol itu tercipta selepas Guler berjaya memintas bola daripada kesilapan hantaran pemain lawan sebelum mengawal kemas dengan beberapa sentuhan. Tanpa menunggu lama, dia terus melakukan rembatan jauh selepas menyedari penjaga gol Elche, Matias Dituro, tidak berada di posisi yang sepatutnya.
Sepakan jarak jauh itu melambung tinggi sebelum meluncur tepat ke dalam gawang, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah di Santiago Bernabeu.
Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa, menyifatkan jaringan itu sebagai sesuatu yang jarang disaksikan dalam bola sepak.
“Saya melihat semua orang mengangkat tangan kerana tidak percaya.
🚨🇪🇸 ARDA GULER SCORES FROM HIS OWN HALF TO MAKE IT FOUR FOR REAL MADRID! 🤯
Real Madrid 4-1 Elche.pic.twitter.com/xyunZDNVY8— Tekkers Foot (@tekkersfoot) March 14, 2026
“Menjaringkan gol dari jarak hampir 70 meter memang sesuatu yang luar biasa, melihat gol itu sahaja sudah berbaloi,” katanya.
Malah Guler sendiri dilihat seolah-olah tidak percaya dengan jaringannya itu apabila meraikannya dengan penuh kegembiraan bersama rakan sepasukan yang berlari daripada bangku simpanan untuk memeluknya.
Rakan sepasukan, Brahim Díaz, berkata Guler sememangnya memiliki rembatan jarak jauh yang berkualiti.
“Dia pernah membuat sepakan lebih kurang sama yang mengenai palang ketika menentang Osasuna sebelum ini.
“Hari ini dia berjaya menyudahkannya.
“Dia mempunyai sepakan yang sangat baik, dan jelas ia satu gol yang hebat,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Real Madrid kini mengumpul 66 mata, hanya satu mata di belakang pendahulu liga, Barcelona.
Real Madrid kini kelihatan bersedia menghadapi tugasan penting menentang Manchester City dalam perlawanan kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL) sebelum berdepan lagi satu seteru utama, Atletico Madrid, dalam aksi liga nanti.