Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz, tidak menolak tiga pemain warisan negara yang sudah dibenarkan beraksi dalam perancangannya untuk menghadapi Shan United dalam ACC Piala Shopee.
Tiga pemain Harimau Selatan, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, antara tujuh pemain yang terpalit dengan isu dokumentasi sementara kelmarin, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan mereka menyertai semula segala aktiviti bola sepak buat sementara waktu.
Advertisement
Kepulangan mereka disambut dengan positif dan kelibat tiga pemain itu dilihat dalam persiapan di Padang Seri Gelam, semalam.
"Kehadiran tonggak berkualiti mustahak buat kami.
"Saya perlu kenal pasti kapasiti minit permainan mereka dan situasi terbaik buat mereka dan pasukan.
"Hari ini kami akan tentukan kedudukan mereka pada esok, mungkin di bangku simpanan (terlebih dahulu).
"Esok kami perlu tonjolkan (perwatakan) awal permainan.
"Kami perlu bunuh perlu berdasarkan peluang yang dicipta.
"Kami ada peluang besar untuk ke pusingan seterusnya," katanya dalam sidang media praperlawanan sebentar tadi.
Pintu gol pencabar dari Myanmar itu sudah ditembusi sembilan kali tatkala serangan balas pantas menjadi aset penting buat pelawat dalam pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim petang esok.
Apa pun, Munoz sedia mempertaruhkan percaturan berbeza bagi menghukum lawan mereka sambil elemen penyudah dari pelbagai sudut perlu dititikberatkan.
"Kami perlu lebih tenang.
"Kami berlatih melakukan percubaan dari luar kotak penalti. Kadangkala kami perlu ubah ruang apabila berdepan pasukan yang gemar bertahan.
"Kami juga perlu berwaspada dengan serangan balas mereka," katanya lagi.