Mendapatkan perlawanan berintensiti tinggi menjadi fokus utama Speedy Tigers pada Siri Jelajah Perth, Australia, yang akan bermula 13 hingga 25 Januari 2026 dengan lima perlawanan diatur sebagai salah satu persiapan akhir skuad negara menuju ke Kejohanan Kelayakan Piala Dunia (Lelaki) 2026 yang bakal berlangsung di Ismailia, Egypt pada 1 hingga 7 Mac 2026.
Siri persahabatan ini menjadi medan penting buat 22 pemain yang dibawa bagi membuktikan kemampuan, merebut tempat ke Egypt di mana mereka akan diuji dengan tiga aksi menentang Thunderstick (16, 17 dan 22 Januari) serta dua pertemuan dengan Pasukan Kebangsaan Australia pada 20 dan 24 Januari 2026.
Advertisement
Pengendali The Speedy Tigers, Sarjit Singh menjelaskan, beraksi menentang Australia dan pasukan Thundersticks di Perth memberi peluang kepada pemain menyesuaikan diri dengan tempo, fizikal dan tekanan permainan di tahap yang lebih tinggi.
Ia penting buat pasukannya membawa bekalan persiapan terbaik ke Kejohanan Kelayakan Piala Dunia, di mana Malaysia yang berada dalam Pool B akan menerima tentangan daripada China, Pakistan dan Austria.
“Siri jelajah ini saya menggabungkan pemain senior dan pemain remaja di mana tiga daripada enam pemain yang dipanggil menjalani latihan, Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari dan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar akan bersama kami.
“Gabungan ini penting untuk memastikan keseimbangan pasukan selain memberi peluang kepada pemain muda mendapatkan pengalaman di peringkat senior.
“Fokus kami pada jelajah ini juga adalah untuk melihat tahap disiplin, kefahaman taktikal dan konsistensi prestasi sepanjang siri jelajah,” jelasnya yang mengharapkan pemain dapat mengekalkan perancangan pasukan dengan baik walaupun berada dalam situasi mencabar.
Mengulas mengenai perlawanan Kelayakan Piala Dunia, Sarjit berkongsi bahawa setiap daripada 22 pemain yang dibawa mempunyai peluang untuk berada dalam senarai akhir 20 pemain ke kejohanan tersebut, namun mereka perlu membuktikan keupayaan memberikan tindak balas dengan baik ketika berada dalam tekanan.
“Bagi pemilihan pemain ke Kelayakan Piala Dunia, barisan kejurulatihan akan menilai siapakah 20 pemain yang berjaya menunjukkan prestasi baik, mempunyai keserasian bermain sebagai satu pasukan, dan cepat menyesuaikan diri dalam setiap situasi perlawanan.
“Siri jelajah ini juga akan digunakan sebagai platform untuk menguji pelbagai gandingan pemain, pendekatan taktikal dan strategi pasukan.
“Mendapat perlawanan persahabatan menentang lawan yang berkualiti seperti ini memberi ruang kepada jurulatih membuat penilaian menyeluruh sebelum memuktamadkan perancangan terbaik untuk ke Kelayakan Piala Dunia,” tambahnya lagi.