Skip to main content

Sukan Lain

Zulhelmi digugurkan daripada Program Podium

25117zulhelmi.jpg
Skuad angkat berat menerima tamparan apabila pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2014, Zulhelmi Mohd Pisol, muncul atlet pertama yang digugurkan daripada Program Podium, sekali gus menjejaskan misi mendominasi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos depan.

Zulhelmi berdepan masalah prestasi sejak merangkul pingat perak kategori 56kg Sukan Komanwel 2014 di Glasgow.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu turut mengalami kecederaan hingga terlepas beberapa kejohanan penting.

Sehubungan itu, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan pegawai Program Podium bersetuju untuk Zulhelmi meninggalkan program sukan termahal negara itu.

"Dua tahun dia tidak boleh beraksi baik dan kami sudah hantar dia berlatih di luar negara sebanyak dua kali. Dia balik pun tidak boleh beraksi baik.

"Sesiapa yang tidak boleh beraksi baik, kami akan gugurkan. Malah, jurulatih pun kami boleh gugurkan kalau tidak dapat memberikan prestasi baik.

"Jadi kami terpaksa mengambil langkah seperti itu," kata Setiausaha Kehormat PABM, Pang Siew Huat.

Ketiadaan Zulhelmi bermakna Program Podium kini dibarisi 96 atlet kebangsaan.

Program berkenaan menelan kos RM75 juta setahun dengan misi utama meraih pingat emas sulung dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet diberi tumpuan khas, termasuk aspek latihan, pemakanan, psikologi dan rawatan kecederaan.

"Kami memandang penting perkara seperti latihan, kejurulatihan dan komitmen yang diberikan selain daripada persembahan. 

"Ini bermana kami tidak lagi melihat hanya kepada persembahan. Kami turut melihat kepada sikap, komitmen dan kedatangan dalam sesi latihan," kata Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

Prestasi beberapa atlet lain juga sedang dipantau sebelum senarai terbaru Program Podium diumumkan 14 Februari depan.

Zulhelmi adalah atlet angkat berat yang memiliki reputasi cemerlang sebelum ini, terutama di pentas Sukan Komanwel di Glasgow.
 

Advertisement

Must Watch Video