Jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz, terhutang budi dengan seorang penduduk Kampung Kesang, Jasin, Melaka yang membenarkan dia berlatih di garaj kereta mereka sejak tahun lalu hingga layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Hidi antara pilihan untuk merangkul pingat emas kategori 55kg esok.

Dia terkandas di Malaysia sejak Januari tahun lalu berikutan penularan COVID-19.

Sejak itu, dia berlatih di beberapa tempat berbeza seperti Kompleks Sukan Desa Pandan dan Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil sebelum menumpang di sebuah rumah penduduk Kampung Kesang.

Semangatnya cukup kuat hingga layak ke temasya Tokyo 2020.






"Saya amat berterima kasih kepada tuan rumah serta semua rakyat Malaysia kerana mengalu-alukan kami tatkala kami berdepan situasi buruk.

"Terima kasih kerana memberi sokongan kepada saya dan pasukan yang berdiri di belakang saya.

'Saya tidak mahu meramalkan yang akan dibawa pulang ke Filipina tapi saya pasti mahu buat yang terbaik dalam temasya ni.

"Persiapan di Melaka akan dipersembahkan di sini jadi silalah lihat aksi saya," katanya di Nadi Arena.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengakui pandemik ketika ini amat memberi kesan dan terharu dengan bantuan yang dihulurkan penduduk tempatan.

"Buat rakyat Malaysia dan Melaka, terima kasih banyak-banyak. Kami mungkin tidak akan dapat bertahan dalam situasi ini.

"Kami di sini bukan sahaja berjuang untuk negara, malah virus dan minta doakan keselamatan atlet yang berada di Jepun ketika ini.

"Malaysia Boleh."