Penglibatan syarikat swasta, khususnya jenama pakaian sukan terkemuka dari Jepun, Asics, berjaya menarik minat pelari denai terbaik Asia untuk mewarnai Kejohanan Larian The Most Beautiful Thing Ultra Trail Marathon (TMBT) di Kundasang, Sabah.
Selain mempromosi aktiviti pelancongan sukan, larian denai juga melalui proses transisi daripada sukan rekreasi kepada sukan elit.
Larian denai bukanlah acara baru di Malaysia, malah ia mula bertapak sejak 15 tahun lalu.
Secara amnya, larian denai mempertandingkan tujuh kategori, bermula dengan acara 7 kilometer sehingga saingan utama, 100 kilometer.
Keterbukaan saingan menjadi faktor utama penglibatan pelari dari seluruh Asia secara tidak langsung menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan.
"Penganjuran jarak larian 100km merupakan yang pertama seumpamanya diadakan di Malaysia.
"Kami bermula pada 2011 menerusi sekumpulan kecil pelari sebelum ia berkembang kepada 2000 peserta. Ia menjadi sangat popular di Asia seiring berkembagnya TMBT.
"Kini terdapat 160,000 pelari di seluruh Asia yang mewakili 22 negara," kata Penganjur TMBT, Claus Pedersen.
Memandangkan larian denai semakin popular, sudah ada gerakan untuk sukan ini dipertandingkan dalam temasya utama.
Ini kerana, sukan ini memiliki ciri utama untuk dipertandingkan dalam Sukan SEA di bawah kategori tiga, iaitu sukan meningkat naik.
"Sudah tentu laluannya tidak standard dengan yang lain tapi tetap sama bagi setiap pelari untuk ditempuhi.
"Asalkan jaraknya ditetapkan, ia tidak akan menjadi masalah dan pastinya mampu menjadi penambahbaikan yang bagus untuk Sukan SEA," katanya lagi.
Shaiful Shamsudin
Mon Sep 16 2024