Institut Sukan Negara (ISN) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana atlet di bawah Program Podium yang terlibat dengan penggunaan bahan terlarang dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini.
Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan mana-mana atlet Program Podium di bawah seliaan ISN sekiranya mereka gagal dalam ujian doping yang dijalankan dalam Sukan Asia.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap atlet yang tidak berada di bawah Program Podium kerana hanya persatuan sukan kebangsaan yang boleh mengambil tindakan ke atas atlet terlibat.
“Saya berharap agar persatuan sukan kebangsaan akan mengambil berat perkara ini (doping) kerana ia melibatkan maruah negara,” katanya dalam sidang media persiapan Sukan Asia 2018 bersama Ketua Kontinjen Malaysia di ibu negara, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang atlet angkat berat negara yang meraih pingat gangsa, gagal dalam ujian doping yang dilakukan sewaktu menyertai Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia bulan lalu.
Dalam pada itu, Abdul Azim berkata bedah siasat yang dijalankan oleh pegawai ISN terhadap prestasi atlet negara dalam Sukan Komanwel 2018 sudah siap dan Unit Sukan Prestasi Tinggi ISN sedang mengkaji beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi membantu memperbaiki prestasi atlet negara dalam Sukan Asia nanti.
Abdul Azim turut memaklumkan ISN akan memberi fokus kepada persiapan daripada aspek pemulihan dan persediaan mental bagi memantapkan persiapan atlet negara untuk menghadapi temasya di Jakarta-Palembang kelak.
Antara strategi pemulihan yang telah dikenal pasti dapat memberi kesan kepada prestasi atlet adalah hidroterapi yang terdiri daripada ‘terapi air kontras’ dan ‘rendaman air sejuk’.
Selain itu, strategi lain adalah urutan sukan, penggunaan pakaian mampatan, aktiviti regangan, pengambilan makanan tambahan serta waktu tidur yang mencukupi.
Persiapan mental pula meliputi aspek motivasi dan komitmen, tumpuan dan fokus, kebolehan mengurus tekanan, kepercayaan diri dan daya tahan.
Abdul Azim memaklumkan seramai 82 pegawai sains dan perubatan sukan akan terlibat untuk membantu atlet negara sepanjang berlangsungnya Sukan Asia 2018 dari 18 Ogos sehingga 2 September depan.
-- BERNAMA