Skip to main content

Hoki

Thunderbolts jadi mangsa amukan THT

tht.jpeg
TNB THUNDERBOLTS 0 THT 5

Terengganu Hockey Team (THT) menjadikan pasukan muda, TNB Thunderbolts, sebagai mangsa amukan setelah mencatat kemenangan besar 5-0 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) di Bukit Jalil sebentar tadi.


Kelmarin, THT terpaksa menelan kepahitan melepaskan Piala Sumbangsih kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), sekali gus menyaksikan anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu memulakan kempen musim ini dengan langkah kiri.

Namun, pemenang Piala Sumbangsih edisi 2018 itu membuktikan kewibawaan sebenar apabila menjadikan Thunderbolts mangsa amukan.

Jang Jong Hyun meledakkan hatrik dalam tempoh kurang daripada 30 minit tatkala ketiga-tiga jaringannya itu terhasil daripada pukulan sudut penalti untuk membolehkan THT mendahului 3-0 selepas suku kedua.

THT sekali lagi menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-40, kali ini menerusi Faizal Saari, sebelum Abid Sufian Mat Ruslee melengkapkan kemenangan anak buah Dhaarma Raj itu dengan gol kelima, 10 minit sebelum tamat.

Sementara itu, juara Piala Sumbangsih, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), meneruskan rentak kemenangan selepas mengatasi Hockademy KL 3-1.

Jaringan daripada Muhammad Razie Abd Rahim, Roel Bovendeert dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin sudah memadai buat skuad kendalian Arul Selvaraj untuk mengutip tiga mata penuh.

“Tugas utama kami adalah mendapatkan tiga mata penuh dan kami berjaya laksanakannya. Ada beberapa perkara lagi yang kami perlu perbaiki, contohnya dalam perlawanan ini kami masih terikut-ikut rentak lawan,” kata Arul.

Keputusan lain

UNIKL 3 HOCKADEMY 1 
NURINSAFI 1 TNB 6
MAYBANK 4 UITM 1




Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video