Selepas aksi ditunda ekoran faktor angin pada Khamis, Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi 2017 bersambung pada Jumaat dengan pasukan Tha 72 terus mengekalkan kedudukan pendahulu kategori racing dan tidak ketinggalan wakil negara turut cemerlang dalam kategori lain.
Perlumbaan kelima dan keenam dilangsungkan di bahagian timur perairan Pulau Langkawi.
Cuaca baik serta tiupan angin sekitar 6 knot membolehkan setiap pasukan bersaing hebat dalam kategori masing masing.
Antaranya, pasukan Tha 72 yang menampakkan penguasaan dalam kategori racing dengan menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat pertama dengan mengutip keseluruhan tujuh mata.
Pasukan Emangine dari Australia berada di tempat kedua dengan 16 mata, manakala Black Bazza dari Hong Kong di tempat ketiga dengan 18 mata.
"Kami beraksi dengan baik, terutamanya berjaya mengutip dua bullet, jadi kami agak berpuas hati.
"Namun, ketika perlumbaan pertama, kami agak bergelut, terutama dengan keadaan angin yang berubah-ubah.
"Bagaimanapun, kami masih mampu meneruskan momentum, jadi kami sudah cukup gembira," ujar jurumudi Tha 72, Don Whitcraft.
Dalam kategori sport boats, pasukan Malaysia Armed Force Team 1 telah pun membuat bantahan kepada pihak penganjur apabila tersilap menentukan keputusan.
Malaysia Armed Force Team 1 mendakwa mereka menamatkan perlumbaan kelima di tempat ketiga dan bukannya kelima.
Bagaimanpun, ia tidak mengubah kedudukan keseluruhan apabila pasukan ini tetap gah berada di puncak dengan mengutip keseluruhan 16 mata.
"Keadaan angin sangat perlahan, jadi senario itu agak memperlahankan kami sehingga kami kehilangan kedudukan," jelas jurumudi Malaysia Armed Force 1, Masyuri Rahmat.