TENIS
Terbuka Australia: Halep terus pamer rentak garang
Simona Halep meneruskan kemaraan dalam Grand Slam Terbuka Australia apabila mengesahkan tempat ke suku akhir dengan menyingkirkan Elise Mertens hari ini.
Tidak melepaskan satu set sekalipun sepanjang kempen kali ini, pilihan keempat itu sekali lagi menghasilkan satu aksi cemerlang untuk menempah pertemuan dengan Anett Kontaveit.
Garbine Muguruza turut melangkah ke peringkat seterusnya apabila menumpaskan seorang lagi pemain pilihan, Kiki Bertens, yang menyaksikan pemain Sepanyol itu memerlukan tempoh 69 minit untuk ke suku akhir buat kali kedua di Melbourne.
Iklan
Anastasia Pavlyuchenkova juga mara selepas aksi sengit berdepan juara 2016, Angelique Kerber.
Selepas ditundukkan dalam pertemuan di Doha, Februari tahun lalu, Halep dikerah untuk bekerja keras sebelum meraih kemenangan 6-4, 6-4 ke atas Mertens untuk mencapai peringkat suku akhir di Australia itu buat kali keempat.
Selepas Mertens bangkit daripada defisit 1-3 untuk mendahului 4-3, Halep mencatat enam kemenangan untuk menawan set pembukaan sebelum mendahului 3-0 dalam set kedua.
Mertens bangkit mematahkan dua servis, namun Halep berjuang untuk mendahului 5-4 dan memanfaatkan servis untuk mengesahkan kemenangannya.
"Secara mentalnya, saya fikir saya telah beraksi dengan hebat hari ini, termasuk dalam situasi 'break point' dan mata akhir," katanya.
"Tetapi saya mendapat rentak, kemudian saya bermain dengan baik dalam 'game' terakhir. Saya rasa saya telah bermain dengan lebih baik berbanding pertarungan yang lain sejak saya tiba di sini."
Halep bakal berhitung dengan Kontaveit, yang melepasi ranjau pemain remaja Poland, Iga Swiatek, dalam aksi tiga set.
Kontaveit bangkit untuk menang 6-7 (4-7), 7-5, 7-5 untuk muncul sebagai pemain pertama dari Estonia yang berjaya ke suku akhir.
Editor: Shaiful Shamsudin
Must-Watch Video