Skip to main content

Tenis

Terbuka Australia: Federer akui peluang tipis atasi Djokovic

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rogerfederer-cropped_1c6bj4ba2ps7q1k06ji2wvemzf.jpg
Roger Federer berasakan dia hanya memiliki 'tiga peratus peluang' untuk memenangi perlawanan separuh akhir Terbuka Australia ketika berdepan Novak Djokovic dengan memikul kecederaan.

Legenda Switzerland itu mempamerkan permulaan yang baik sebelum tewas 7-6 (7-1), 6-4, 6-3 kepada Djokovic, yang melangkah ke final buat kali kelapan di Melbourne, sebentar tadi.

Federer bergelut dengan kecederaan pangkal paha ketika meraih kemenangan suku akhir ke atas Tennys Sandgren dan mengambil waktu rehat dalam set pertama ketika tewas kepada Djokovic.

Juara grand slam 20 kali itu berasakan peluang untuk menang ke atas Djokovic, yang memenangi 27 daripada 50 pertemuan di antara mereka, sangat tipis.

"Secara keseluruhan, saya sangat gembira selepas berakhirnya perlawanan dan apa yang telah saya capai," kata Federer.

"Saya telah mengerah segala keringat dalam kejohanan ini ketika bertemu John Millman dan Sandgren.

"Hari ini sungguh malang, terpaksa mengharungi aksi yang kurang baik. Saya menyedari hanya ada tiga peratus untuk menang dalam perlawanan ini.

"Saya berasakan telah bermain baik secara keseluruhannya. Saya tahu mampu tampil lebih cemerlang dan dalam masa sama, saya juga mengetahui boleh bermain dengan lebih buruk."

Federer optimis mengenai kecederaannya dan berkata mahu beraksi dalam perlawanan pertunjukan berdepan Rafael Nadal di Afrika Selatan, 7 Februari ini.

Juara enam kali di Melbourne, Federer, 38, tidak memberikan jaminan akan kembali ke Terbuka Australia tahun depan tetapi masih lagi menaruh harapan.

"Tidak tahu lagi. Sama seperti tahun lalu. Anda tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang.

"Tetapi terutamanya umur saya, anda tidak tahu. Saya yakin dan gembira dengan tahap kecergasan saya. Saya telah menjalani proses latihan yang baik. Tiada perancangan untuk bersara."



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video