Kepulangan Rafael Nadal ke Terbuka Perancis -- dan kemungkinan perpisahan - berakhir di pusingan pertama ketika pemegang gelaran 14 kali itu tewas kepada Alexander Zverev.
Juara Grand Slam 22 kali, Nadal dinafikan 6-3, 7-6 (7-5), 6-3 oleh pilihan keempat Jerman itu. Nadal yang telah menjadi sinonim dengan Roland Garros gagal pamer aksi sepertimana dia meletakkan tanda aras sebelum ini menjadikannya hampir tidak dapat
dikalahkan di gelanggang tanah liat Paris.
Pemain berusia 37 tahun itu sebelum ini menyatakan musim 2024 kemungkinan boleh menjadi musim terakhirnya dalam jelajah ketika dia terlepas Terbuka Perancis musim lalu. Menurut Nadal, dia tidak pasti sama ada ini akan menjadi
kali terakhirnya di major gelanggang tanah liat -- tetapi ianya masih belum pasti dan kekal sebagai 'peluang besar'.
Semalam, Nadal tiba di gelanggang Philippe Chatrier -- tempat keramat di mana banyak momen terbaik berlaku dalam kariernya. Walaupun tewas seawal pusingan pertama, bekas pemain nombor satu dunia itu tetap pamer kecemerlangan
yang membuatkan dia begitu disayangi namun tidak cukup untuk menguji Zverev!
Ia hanyalah kekalahan keempat Nadal dalam 116 perlawanan di Roland Garros dan Zverev muncul pemain ketiga selepas Robin Soderling pada 2009 dan Novak Djokovic pada 2015 dan 2021 berjaya menewaskannya.
"Saya tidak tahu sama ada ia kali terakhir saya akan berada di sini di hadapan anda. Jika benar, saya telah menikmatinya," kata Nadal dalam ucapan di gelanggang.
"Penyokong sangat mengagumkan sepanjang minggu ini. Bagi saya ia sangat istimewa dapat merasai kasih sayang orang seperti yang saya rasakan."
Dengan beberapa penyokong menangis di tempat penonton, Nadal turut diberi 'standing oviation' dan tepukan gemuruh orang ramai sebagai tanda penghargaan mereka untuk juara terbaik kejohanan itu.
Sabrina Mustaffa
Tue May 28 2024