Skip to main content

Sukan Lain

Taekwondo: Kejayaan Kejohanan Asia jadi pemangkin semangat

taekwondo-yap-khim-wen.jpg
Atlet taekwondo negara, Yap Khim Wen, tetap menyifatkan kejayaan meraih pingat perak dalam beregu campuran acara poomsae Kejohanan Asia pada 28 Mei lalu sebagai suntikan semangat buatnya walaupun acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Ketika saingan Kejohanan Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam itu, Khim Wen bergandingan dengan Yong Jin Kun untuk meraih perak dengan catatan 8.23 mata.

Bagi Khim Wen, walaupun acara beregu campuran tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia, kejayaan meraih perak dalam Kejohanan Asia tetap memberi kesan positif kepadanya kerana dia berjaya bangkit daripada kecederaan buku lali untuk merangkul perak.

Kejayaan meraih pingat di Bandaraya Ho Chi Minh itu secara tidak langsung turut memberikannya keyakinan untuk bersaing dalam acara individu wanita poomsae dalam Sukan Asia nanti. 

"Kejayaan ini menyuntik motivasi kepada saya setelah menderita kecederaan. 

"Doktor menganggarkan peluang saya adalah 50-50 untuk menyertai Kejohanan Asia ini. 

"Jadi, ia memberi saya keyakinan terhadap pemulihan buku lali yang dialami sebelum ini untuk saya menyertai Sukan Asia dan menampilkan prestasi yang lebih baik seperti yang saya harapkan," kata Khim Wen.  

Dalam perkembangan sama, Jin Kun, yang tidak akan beraksi dalam Sukan Asia, mengakui sedikit kecewa apabila mengetahui acara beregu campuran digugurkan daripada temasya itu.

Namun, kejayaan meraih perak di Bandaraya Ho Chi Minh juga memberi keyakinan buatnya beraksi dalam tugasan lain tahun ini.

"Pada mulanya, saya agak kecewa sebaik mengetahui acara beregu campuran tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia. 

"Bagaimanapun, masih ada kejohanan yang boleh diberi tumpuan seperti Kejohanan Terbuka Korea Selatan tidak lama lagi dan Kejohanan Dunia pada November," ujarnya. 

Advertisement

Must Watch Video