Skip to main content

Sukan Lain

Syaidatul lega kembali jalani latihan

syaidatul-afifah.jpg
Selepas dua bulan menanggung kecederaan, atlet boling tenpin negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, lega dapat kembali berlatih dalam mempersiapkan diri untuk Jelajah Boling Pro Amerika Syarikat, bulan depan.

Syaidatul sebelum ini mengalami kecederaan pergelangan tangan kanan dan tidak disarankan menjalani latihan selama dua bulan.

Kini, dia telah pulih sepenuhnya dan kembali berlatih sejak awal bulan ini untuk mendapatkan kembali momentum bagi berdepan kejohanan pertamanya tahun ini di Amerika Syarikat.

Pemain skuad juara berpasukan dunia 2017 itu perlu menggandakan usaha untuk memastikan dia tidak ketinggalan jauh daripada lima lagi rakan sepasukan sekiranya ingin terus dikekalkan ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan.

"Saya sudah pulih sepenuhnya dan tiada lagi rujukan doktor, jadi saya sudah boleh menjalani latihan penuh. 

"Setakat ini, enam atlet yang ada sekarang akan ke Sukan Asia, melainkan jika ada sebarang kecederaan," katanya.

Syaidatul bakal berdepan tiga kejohanan di Amerika Syarikat dari 7 hingga 30 Jun di mana mereka bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan buat kali ketiga tahun ini.

Semestinya, podium menjadi sasaran utama atlet berusia 27 tahun ini sebagai hadiah mengubati kerinduan kepada keluarga pada lebaran nanti. 

"Sedih memang ada, terutama ketika hari raya pertama, tetapi sebenarnya saya sudah terbiasa meraikan raya itu di luar negara. Bagaimanapun, sokongan dan persefahaman yang ditunjukkan keluarga membuatkan kami gembira untuk beraksi."

Advertisement

Must Watch Video