Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA Thailand: Atlet olahraga ukur kemampuan awal

lontar-peluru.jpg
Jurulatih olahraga negara, Malik Tobias, percaya Kejohanan Simulasi High Level Committee yang pada hari ini mampu membantu atlet negara kekal berada di tahap terbaik menjelang beberapa siri kejohanan utama yang dijadualkan membuka tirai pada April depan. 

Antara tugasannya adalah untuk mempersiapkan skuad lontar peluru dan heptatlon wanita negara menuju ke temasya Sukan SEA Thailand, Disember depan.

Kejohanan tertutup yang diadakan di MSN Bukit Jalil itu menyaksikan penyertaan hampir 160 atlet membabitkan beberapa acara antaranya, lontar peluru, lempar cakera serta baling tukul besi.

"Kejohanan ini mendapat sambutan sekitar 150 atlet daripada pelbagai agensi. 

"Kami ingin fokus kepada atlet yang di bawah Program Podium, pelapis, sekolah dan IPT (Institusi Pengajian Tinggi). 

"Ada beberapa agensi lagi yang hendak sertai kejohanan ini tapi kami terpaksa hadkan kerana sudah kesuntukkan masa. 

"Kami mencari kualiti dalam atlet dan (platform ini) bagus untuk pembangunan," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi. 

Sementara itu, pemegang rekod lontar peluru wanita kebangsaan, Nani Sahirah Maryata, mengakui berdepan cabaran untuk mengekalkan ketekalan bagi mendapatkan balingan dalam linkungan jarak 15 meter.

Atlet berusia 24 tahun kelahiran Kuantan, Pahang, itu turut meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas dalam Sukan SEA Thailand 2025 bagi memperbaiki pencapaiannya gangsa dalam Sukan SEA Kemboja 2023.

"Ketekalan sangat sukar. Apa yang penting ialah teknik balingan selain kekuatan fizikal. 

"Peluang untuk memenangi emas (Sukan SEA) ada tapi saya perlu berlatih lebih gigih dan banyak perbaiki diri," katanya pula.

 

Advertisement

Must Watch Video