Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Skuad chinlone yakin raih emas pertama negara

yusoff-ali.jpg
Skuad chinlone lelaki negara berpeluang cerah untuk mencipta sejarah menjadi penyumbang emas pertama Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur bulan depan, sekaligus menamatkan kemarau kejayaan di pentas Asia Tenggara.

Berdasarkan undian yang berlangsung hari ini, hanya tiga negara yang akan menyertai acara linking, termasuk Malaysia, iaitu Brunei dan Filipina.

Justeru, ia beri petanda awal bahawa Malaysia mampu merangkul pingat emas pertama dalam acara ini memandangkan chinlone dipertandingkan pada hari pertama pingat emas Sukan SEA ditawarkan, 16 Ogos ini.

"Saya yakin kita mampu meraih emas, kita berdoalah ia mampu dilakukan," kata Penolong Setiausaha Dua, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Yusoff Ali.

Dalam pada itu, turut mencuri tumpuan adalah undian melibatkan acara regu lelaki. 

Ketiadaan kuasa besar, Thailand, yang pada awalnya dicanang akan kembali menyertai acara tersebut tidak menjadi kenyataan apabila mereka hanya menumpukan terhadap acara berpasukan lelaki, doubles, dan quadrant.

"Jika acara berpasukan dapat diteruskan, maka setiap jurulatih mahu memberi fokus terhadap acara quadrant," jelas Timbalan Presiden, Persatuan Sepak Takraw Thailand, Boonchai Lorhpipat.

Selain Malaysia, empat lagi negara -- Kemboja, Laos, Filipina, Brunei -- turut menyertai acara regu lelaki. 

Situasi ini jelas memberikan ramalan awal bahawa skuad chinlone negara mampu untuk kembali mempertahankan pingat emas acara regu lelaki yang dimenangi di Singapura 2015. 

Sementara itu, laluan skuad badminton negara, khususnya dalam acara berpasukan, juga dijangka cerah. 

Berdasarkan undian dan ramalan awal acara berpasukan lelaki, Malaysia diramalkan menempuh laluan mudah ke final dan bakal berdepan sama ada Thailand atau Indonesia.

Ia sekaligus mengubat kekecewaan dua tahun lalu di Singapura apabila skuad badminton berpasukan lelaki hanya mampu meraih pingat gangsa.

"Lebih sukar menghadapi Thailand berbanding Singapura. Jadi, apabila Thailand diundi berdepan Indonesia, skuad lelaki berpeluang cerah untuk  mara ke final," jelas Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai.

Sebaliknya, cabaran getir bakal dihadapi skuad badminton berpasukan wanita negara yang dijangkakan akan bertemu Indonesia di peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, BAM berasakan pertemuan dengan Indonesia di peringkat separuh akhir adalah lebih mudah jika dibandingkan berdepan Thailand.

Dua tahun lalu, Thailand mengecewakan Malaysia dalam final untuk meraih emas, lantas Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

"Undian skuad wanita juga positif kerana lebih baik berdepan Indonesia berbanding Thailand. Ini kerana Thailand memiliki tiga pemain perseorangan wanita yang kuat," tambah Chin Chai.
 

Advertisement

Must Watch Video