Ketua jurulatih skuad futsal negara, Addie Azwan Zainal, mengakui pasukannya berdepan kekangan tempoh masa persiapan menjelang Kejohanan Futsal ASEAN 2026 yang dijadual berlangsung di Nonthaburi, Thailand dari 5 hingga 13 April depan.
Meskipun bakal mempertaruhkan majoriti muka baru pada kejohanan kali ini, bekas kapten futsal negara itu percaya tiada yang mustahil untuk Malaysia mencipta kejutan di bumi Thailand.
Advertisement
Malaysia yang berada dalam saingan Kumpulan B bakal berdepan cabaran Australia, Indonesia serta Brunei dalam misi merebut dua pasukan terbaik yang akan mara ke pentas separuh akhir.
Untuk rekod, skuad futsal negara belum pernah bergelar juara serantau sejak ia dipertandingkan pada 2001 dengan pencapaian terbaik ialah muncul naib juara sebanyak lima kali masing-masing pada edisi 2003, 2005, 2010, 2017 dan 2018.
"Persiapan bermula pada 25 Mac ini. Kami akan memanggil semua pemain.
"Saya berharap kematangan pemain menerima arahan.
"Masa untuk menonjolkan kualiti pemain muda bersaing demi negara," katanya di Nadi Arena.