Ketua jurulatih skuad bola keranjang lelaki negara, Goh Cheng Huat, menegaskan tidak perlu risau dengan keputusan kurang memberangsangkan anak buahnya dalam Kejohanan Asia Tenggara (SEABA), bulan lalu, kerana ia tidak mencerminkan senario sebenar dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dari 19 hingga 30 Ogos depan.
Jika mengambil keputusan di Filipina bulan lalu itu, maka Malaysia akan terlepas peluang untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya pingat gangsa Sukan SEA susulan menamatkan kempen di tangga keempat.
Di atas kertas, peluang Malaysia dilihat menggusarkan apabila tewas bukan sahaja kepada Filipina, malah kepada Indonesia dan Thailand.
Bagi Cheng Huat, SEABA kali ini hanya memainkan peranan sebagai pemanas badan dan ruang mengenal pasti kelemahan.
"Saya lihat masalah kami adalah di mana pemain banyak mengerah tenaga ketika bertahan, oleh itu ketika menyerang mereka cenderung melakukan kesilapan.
"Bagaimanapun, kejohanan itu memberi peluang kepada saya menilai kekuatan pasukan serantau," katanya.
Dalam masa yang sama, semangat pemain senior seperti Kuek Tian Yuan tidak luntur apabila menyimpan kemahuan untuk mencipta keajaiban, Ogos nanti.
Perwatakan serta persiapan skuad negara setakat ini menawarkan petanda bahawa mereka tidak sekadar berpuas hati dengan gangsa, apatah lagi beraksi sebagai tuan rumah.
"Saya akan cuba membantu pasukan mara ke perlawanan akhir dan (sekurang-kurangnya) memenangi perak.
"Kalau boleh menang emas lebih baik. Ini kerana sudah lama Malaysia tidak memenangi Sukan SEA," ujarnya.
Penulis Jemputan
Thu Jun 01 2017