Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Sukan Asia: Weng Son, Wai Kin akan ambil bahagian

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

wengson.jpg
Setelah sekian lama berbakti untuk negara, akhirnya dua atlet wusyu, Wong Weng Son dan Yap Wai Kin, berjaya meraih kepercayaan barisan kejurulatihan untuk beraksi buat julung kalinya dalam Sukan Asia di Indonesia, dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

Weng Son dan Wai Kin sudah bersama kem negara sejak 2010, namun mereka belum pernah merasai suasana beraksi di pentas sukan terbesar Asia itu.

Namun, setelah menanti selama lapan tahun, mereka berjaya meyakinkan barisan kejurulatihan ketika sesi pemilihan  pada 13 Mei lalu dan akan beraksi dalam acara yang sama, iaitu chang quan.

Sungguhpun hanya menyertai satu acara untuk penampilan pertama mereka dalam Sukan Asia, Weng Son dan Wai Kin tetap bersemangat mahu menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia.

"Saya mesti melihat ia sama seperti pertandingan lain, tidak kira Sukan Asia, Sukan SEA atau Kejohanan Dunia.

"Ini adalah Sukan Asia pertama saya, sudah tentu saya akan meletakkan sasarannya," kata Wai Kin.

Sementara itu, Weng Son berkata: "Memang bangga kerana saya tidak pernah mengambil bahagian dalam Sukan Asia. Saya rasa kali ini saya akan lebih fokus."

Kedua-duanya ditemui dalam majlis resepsi perkahwinan rakan sepasukan, Loh Jack Chang, di Putrajaya pada Sabtu lalu.

Jack Chang awal-awal lagi sudah mengumumkan ini merupakan Sukan Asia yang terakhir untuk dirinya selepas membuat dua penampilan di Guangzhou 2010 dan Incheon 2014.

Dia berharap agar mampu untuk menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat selepas gagal berbuat demikian sebelum ini.

"Ini akan menjadi yang terakhir. Ya. Sebelum ini pun saya sudah memikirkan tentang persaraan.

"Isteri saya juga banyak mendorong saya untuk pergi ke depan, untuk mengambil setahun lagi. Itu sebabnya saya masih berada dalam pasukan," kata Jack Chang.  

Advertisement

Must Watch Video