Skip to main content

Hoki

Sukan Asia: Shamala ikut jejak Subahan ikrar undur diri jika gagal

khm-subahan-shamala.jpg
Selepas Datuk Seri Subahan Kamal, kini giliran Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Profesor S. Shamala, meluahkan hasrat sedia meletak jawatan jika skuad hoki lelaki negara gagal layak ke pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Subahan yang merupakan presiden KHM telah berulang kali menyatakan bahawa beliau akan melepaskan jawatan jika impiannya melihat skuad hoki negara ke temasya Tokyo 2020 musnah, dengan pingat emas Sukan Asia Indonesia 2018 bakal menawarkan slot automatik. 

Berasakan dirinya juga bertanggungjawab, Shamala juga akan mengikut jejak langkah serupa selepas mencurahkan segala-galanya dalam dunia hoki sejak 19 tahun lalu.

Tidak dipengaruhi sesiapa, sebaliknya beliau mahu membuka ruang kepada muka-muka baru yang boleh membantu pembangunan hoki negara.

"Saya juga nak sesuatu (pencapaian) yang boleh dibanggakan.

"Sebagai timbalan presiden, saya berusaha melakukan pencapaian yang boleh membawa perubahan. 

"Inilah masa yang tepat. Saya tidak mahu menjadi seorang pemimpin yang sekadar berasa kesal selama beberapa minggu, kemudian memulakan kitaran sistem itu buat selama-lamanya dan tidak memberi tekanan yang cukup untuk mencapai matlamat," kata Shamala ketika ditemui dalam Mesyuarat Agung KHM Ke-65 di Kuala Lumpur, hari ini. 

Sementara itu, Subahan memberi bayangan bahawa Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan menarik perhatian pasukan kebangsaan luar negara.

"Saya tidak mahu menamakan negara yang terbabit tapi saya memberitahu, mereka tidak boleh bersaing atas nama negara.

"Negara tersebut mungkin boleh bersaing atas tiket kelab tapi biarlah ahli jawatankuasa yang akan menentukannya nanti kerana saya tidak terlibat.  

"Seperti yang kita sedia maklum, Liga Hoki India tidak begitu aktif dan ramai pemain luar dari serata dunia ingin ke mari," ujarnya. 

Advertisement

Must Watch Video