Skip to main content

Sepak Takraw

Skuad sepak takraw negara didapati bersalah boikot final Piala Raja Thai

2117abdulhalimkader.jpg
Skuad sepak takraw negara berdepan risiko kehilangan khidmat regu kedua dan tiga pegawai untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila Jawatankuasa Siasatan, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) memutuskan mereka bersalah kerana memboikot perlawanan akhir Piala Raja Thai, tahun lalu.

Jawatankuasa Siasatan ISTAF, yang bersidang di Bangkok, Thailand, hari ini mendapati regu kedua negara, pengurus, ketua jurulatih serta penolong jurulatih Malaysia bersalah kerana tidak meneruskan permainan tersebut.

Regu terbabit ialah Izurin Refin, Muhammad Afifuddin Razali dan Safaruffin Abu Bakar.

Sementara itu, pengurus pasukan, Mohd Zambri Abdul Rahman; ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad, dan penolongnya, Mohd Rashidi Nordin, turut berdepan hukuman.

"Kami hanya akan menjatuhkan hukuman kepada enam individu, iaitu Izurin, Afifudin dan Safarrudin yang tidak turun bagi meneruskan permainan regu kedua, termasuk pengurus serta dua jurulatih," kata Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

Bagaimanapun, regu ketiga serta tiga pemain simpanan negara dilepaskan. 

Dalam pada itu, ISTAF memaklumkan bahawa pihaknya akan menentukan bentuk hukuman, esok.

Merujuk kepada perkara 15.3 peraturan permainan ISTAF, pemain atau pegawai pasukan yang membantah keputusan pengadil hingga mengganggu kelancaran permainan boleh dikenakan tindakan disiplin.

ISTAF akan turut mengumumkan hukuman mengenai pertuduhan terhadap pemain Malaysia yang enggan menjalani ujian doping dalam kejohanan sama, minggu depan.

Advertisement

Must Watch Video