SUKAN LAIN
Skuad memanah tidak sabar tunggu Mac
Atlet recurve, Haziq Kamaruddin, merupakan antara pemanah negara yang terpaksa menunggu sehingga Mac depan untuk menyertai kejohanan antarabangsa sulung tahun ini ketika negara lain sibuk membuat persiapan memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Skuad memanah negara kini memasuki tempoh empat bulan kemarau kejohanan antarabangsa tatkala kali terakhir pemanah kebangsaan beraksi adalah sewaktu meraih satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam Sukan SEA Filipina, bulan lalu.
Situasi itu bukan petanda baik untuk memburu tiket Olimpik Tokyo menerusi Piala Dunia ketiga di Berlin, Jerman, Jun depan yang juga menjadi peluang terakhir untuk ke temasya itu.
Iklan
"Sepatutnya kami, apabila dalam tahun penting, perlu bekerja lebih keras dan menyertai lebih banyak kejohanan. Memang setiap tahun ada kejohanan tetapi coraknya ketika tahun biasa jika dibandingkan tahun Olimpik memang berbeza. Negara lain juga akan lebih fokus, jadi diharapkan akan ada kejohanan untuk membantu kelayakan kami," kata Haziq.
"Bermula tahun ini, ada latihan lebih banyak. Berkemungkinan kami akan sertai saingan dalam Malaysia, jadi tiada jarak masa yang jauh," ujar seorang lagi pemanah recurve negara, Nur Aliya Abd Ghapar.
Setakat ini, hanya Khairul Anuar Mohamad yang sudah mengesahkan tiket ke Tokyo.
Dalam saingan Sukan Olimpik Rio 2016, tiga pemanah kebangsaan termasuk Haziq dan Akmal Nor Hasrin melayakkan diri ke pentas berprestij itu.
Editor: Nafis Abdullah
Must-Watch Video