SUKAN LAIN
Sampel B Fazrul kekal positif stanozolol
Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akhirnya mendedahkan individu yang positif kes doping dalam Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu dengan menamakan pemenang pingat gangsa kategori 88 kilogram, Muhammad Fazrul Azrie Mohdad, setelah sampel B yang dicabarnya kekal positif.
Keputusan sampel B yang dicabar Fazrul akhirnya dikeluarkan kelmarin yang menunjukkan Fazrul masih positif dengan bahan yang dikenali sebagai stanozolol.
Fazrul dikatakan mengambil bahan berkenaan ketika menjalani latihan pusat di Balik Papan, Indonesia, sebelum berlepas ke Gold Coast.
Iklan
PABM sudah memaklumkan kepada Fazrul dan dia berdepan penggantungan maksimum sehingga empat tahun. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada keputusan jawatankuasa yang baru sejurus pemilihan exco baru PABM pada 12 Mei ini.
"Kami sudah membuat penggantungan sementara.
"Cuma sama ada (penggantungan itu sehingga) empat tahun atau bagaimana, itu bergantung kepada jawatankuasa yang dilantik nanti. Tetapi hukuman maksimumnya adalah empat tahun," kata Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail.
Dengan ketiadaan Fazrul, ini bermakna Malaysia sudah boleh melupakan khidmatnya dalam Sukan SEA Manila 2019 selepas meraih perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.
"Kami ada juga bertanya kepadanya, dia kata waktu itu dia sakit.
"Cuma, kesilapannya adalah kerana makanan tambahan yang diambilnya itu tidak dirujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN). Itu sahaja yang dia maklumkan.
"Dia mengaku kesilapannya di situ. Bagi saya, kalau dia atlet baru tak mengapa, dia adalah atlet negara. Itu adalah kesilapan utamanya," ujar Abu Hanapah.
Must-Watch Video