Skip to main content

Sukan Lain

Ridzuan Puzi tiada dalam senarai sasaran emas

Pemenang pingat emas acara 100 meter T36 dalam Sukan Paralimpik Rio 2016, Ridzuan Puzi, tiada dalam senarai sasaran emas bagi Kejohanan Olahraga Dunia, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London, Julai depan. 

Biarpun kejayaan Ridzuan membutirkan emas pertama Paralimpik buat negara masih baru, namun itu bukan jaminan untuk dia kekal mempertahankan emas yang dimenanginya dalam kejohanan yang sama, dua tahun lalu. 

Merujuk kepada kehadiran muka-muka baru dari China dan Russia, ketua jurulatih olahraga Para negara, R, Jeganathan, melahirkan kegusaran andai Ridzuan terus dibuai dengan kejayaan September lalu. 

"Ridzuan mampu memenangi medal, cuma belum tahu lagi tempat ke berapa. 

"Apa yang saya tengok kebelakangan ini ialah cabaran daripada atlet China yang baru berusia19 tahun selain atlet Russia yang juga sudah kembali bertanding. 

"Mereka mempunyai catatan larian yang bagus, iaitu sekitar 11.8 dan 11.9 saat.

"Semua peserta yang hebat-hebat akan kembali, jadi ia satu pertandingan yang hebat untuk Ridzuan," katanya. 

Ketika ini, Jeganathan mempertaruhkan nama Ziyad Zulkifli dan Abdul Latif Romly sahaja sebagai wakil negara yang bakal membawa pulang emas buat negara di London nanti. 

Bagaimanapun, itu tidak bermaksud kelibat Ridzuan terus terpinggir, malah dia masih menjadi taruhan Jeganathan sehingga Sukan Paralimpik Tokyo 2020. 

"Secara psikologinya, saya mahu memberi motivasi kepadanya dengan mengingatkan bahawa dia adalah juara dunia dan Olimpik. 

"Sasaran saya adalah untuk membawanya sampai ke Olimpik Tokyo tapi dalam masa yang sama, banyak gangguan dihadapinya. 

"Sekarang bila dia dah ada duit, semua orang datang kepadanya. Saya pun sudah pening...

"Dengan majlis keraian menyambut kejayaannya di Olimpik Rio sejak beberapa bulan lalu, saya mahu dia kembali serius selepas dia balik dari mengerjakan umrah. 

"Dia seorang atlet yang hebat kalau tiada gangguan ke atasnya. 

"Dia perlu fokus kerana umurnya sudah mencecah 34 tahun di Tokyo."

Advertisement

Must Watch Video