Skip to main content

Sukan

Ramai ibu bapa marah lihat promosi video itu libat kanak-kanak bergaduh - Hannah Yeoh

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

han_1.jpg

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegur tindakan penganjur program sukan tempur Warzone World Championship (WWC) yang didakwa mempromosikan acara tersebut melalui kandungan tidak sesuai di media sosial.

Menurutnya, setiap penganjuran acara perlu mematuhi syarat-syarat tertentu dan sebarang bentuk promosi yang tidak sesuai dilihat bertentangan dengan budaya sukan selamat yang diperjuangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Advertisement

“Kena ada kepatuhan pada syarat-syarat untuk pastikan kandungan itu selamat, bukan sahaja untuk atlet tetapi juga untuk penonton. ‘Konten’ yang digunakan memang tidak sesuai.

“Saya tahu ada yang berpendapat ini adalah hiburan sukan tempur. Tidak, bukan semua hiburan boleh diterima. Saya tak nak tengok promosi dibuat hanya kerana nak dapatkan ‘views’ yang tinggi.

"Kita tak boleh buat kandungan yang tidak sesuai semata-mata untuk populariti. Ini bukan budaya sukan selamat yang kita perjuangkan,” katanya kepada media selepas melancarkan program Jaguh Rakan Muda pada Isnin.

Aksi International Influencer Super Lightweight Champion WWC yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini menjadi tumpuan selepas beberapa klip video tular menunjukkan pertengkaran antara petarung Malaysia dan Indonesia.

Video itu dipercayai sebahagian daripada promosi acara tersebut dan menimbulkan kritikan dalam kalangan komuniti sukan tempur tempatan.

Pada Ahad, KBS turut mengesahkan bahawa penganjuran program berkenaan tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berwajib.

Hannah menjelaskan, KBS sentiasa bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan bagi memastikan setiap program yang dijalankan sesuai dengan nilai masyarakat tempatan.

“Ramai ibu bapa marah apabila melihat promosi video itu yang melibatkan kanak-kanak bergaduh. Kita tahu bukan semua kandungan sesuai untuk masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi ketika kerajaan sedang memerangi isu buli dan tren negatif di media sosial,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hannah turut menjelaskan penganjur belum membuat permohonan rasmi kepada KBS dan perlu melakukannya sekiranya mahu meneruskan acara tersebut.

“Kalau mereka nak teruskan, mereka perlu ikut garis masa dan syarat-syarat permohonan. KBS menetapkan tempoh permohonan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pertandingan.

“Kita tahu kalau mereka nak teruskan juga tanpa kebenaran, KBS akan membuat laporan polis untuk rekod kerana penganjuran ini tidak mendapat kelulusan. Ini penting sebab kalau acara menjual tiket, penonton dan penaja perlu tahu status sebenar,” katanya.

Tambahnya, pihak KBS tidak menghalang mana-mana pihak untuk menganjurkan program sukan, namun menegaskan ia mesti dilaksanakan dalam suasana yang selamat dan sesuai dengan norma masyarakat Malaysia. - Sinar Harian

Garmin

Lebih Dari Sekadar Jam

Jam Garmin ini bantu anda jejak setiap langkah, degupan & pencapaian dengan tepat.
Dapatkan Sekarang

Must Watch Video