Skip to main content

Sepak Takraw

PSM mohon ISTAF kurangkan denda

16117ahmadismail.jpg
Malaysia akan menghantar rayuan kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) untuk mengurangkan denda RM81,000 terhadap tiga pemain dan tiga pegawai negara yang didapati bersalah kerana memboikot perlawanan akhir Piala Raja Thai Ke-31 di Bangkok, Oktober tahun lalu.

Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail, mengetuai pertemuan antara pegawai badan induk itu, pengurus, jurulatih dan pemain skuad kebangsaan bagi membincangkan langkah yang patut diambil susulan hukuman ISTAF terhadap Malaysia.

Hasil pertemuan selama dua jam itu, PSM bersetuju untuk memohon pengurangan denda yang disifatkan terlalu tinggi.

Permohonan itu akan dihantar ke ibu pejabat ISTAF di Bangkok, Thailand esok, empat hari sebelum tarikh akhir untuk menjawab pertuduhan ISTAF.

"Saya tidak melihat ISTAF mahu mendapatkan wang daripada kami, mereka hanya mahu memastikan perkara ini tidak berulang di masa akan datang. Jadi, pada pendapat saya, denda sebanyak RM81,000 itu terlalu tinggi," kata Ahmad.

Sabtu lalu, Lembaga Disiplin ISTAF memutuskan regu kedua, pengurus, ketua jurulatih dan penolong jurulatih negara bersalah kerana memboikot final Piala Raja Thai.

Trio negara, Izudin Refin, Afifuddin Razali dan Safarudin Abu Bakar, masing-masing didenda USD2,000 (RM9,000).

Sementara itu, tiga pegawai, iaitu pengurus pasukan, Mohd Zambri Abdul Rahman; ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad, dan penolongnya, Mohd Rashidi Nordin, didenda USD4,000 (RM18,000) setiap seorang. 

Situasi itu menyaksikan Malaysia turut dituduh enggan menjalani ujian doping dan keputusannya dijangka diketahui, minggu ini.

Jika ISTAF menolak permohonan PSM, maka badan induk itu perlu membayar RM81,000 atau pemain digantung selama tiga bulan sementara pegawai, enam bulan.

Ia pastinya menjadi tamparan hebat buat skuad negara sebelum menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Advertisement

Must Watch Video