BERBASIKAL

Projek Ramadan: Kisah inspirasi Abdul Ghani pernah berlatih di belakang lori sebelum bergelar atlet negara

Stadium Astro
Hanis Natasya Lizam
10/03/2025
12:19 MYT
Sponsor Banner
Projek Ramadan: Kisah inspirasi Abdul Ghani pernah berlatih di belakang lori sebelum bergelar atlet negara
Projek Ramadan musim ketiga ini diteruskan dengan kunjungan ke kediaman bekas atlet berbasikal negara, Abdul Ghani Kassim, yang kini menetap di Kajang, Selangor.
Pernah mewakili Malaysia di pentas Sukan SEA 1975, Abdul Ghani, yang kini berusia 75 tahun, berdepan dengan masalah kesihatan akibat serangan strok.
Di sebalik senyuman yang terukir pada wajahnya, tersimpan sebuah kisah penuh perjuangan yang pernah mewarnai arena sukan tanah air.
Segalanya bermula dengan impian kecil di sebuah kampung.
Setiap kali melihat rakan-rakannya berbasikal, hati kecilnya meronta-ronta ingin mencuba.
Dengan hadiah sebuah basikal lama bernilai RM70 pemberian arwah bapanya, ia menjadi titik permulaan kepada perjalanannya sebagai pelumba berbasikal.
"Di Johor, kalau saya berlatih seorang diri, saya akan ikut belakang lori sehingga ke Batu Pahat sebelum berpatah balik.
"Saya mula berbasikal seawal jam 8 pagi dan tiba di rumah sekitar jam 6 petang.
"Kadang-kadang saya makan di rumah kawan.
"Semua ini kerana saya suka melihat basikal mereka yang cantik.
"Saya pernah meminjam basikal kawan, dan dari situlah saya mula berangan-angan untuk memiliki basikal sendiri.
"Tahun 1975 menjadi permulaan segalanya apabila saya terpilih ke Sukan SEA pertama saya di Bangkok.
"Saya menyertai acara 4000m individu dan 4000m berpasukan.
"Dalam acara individu, saya kalah dengan pelumba Singapura dan hanya menduduki tempat keempat.
"Namun, dalam acara berpasukan, kami berjaya meraih pingat gangsa.
"Apa yang menyedihkan, apabila tiba masanya untuk pulang ke Kuala Lumpur, saya tidak mempunyai wang tambang.
"Nasib baik rakan seperjuangan, Jamaluddin Omar, membantu saya dengan membawa saya bermalam di kuartersnya sebelum membawa saya berjumpa keluarganya pada keesokan paginya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.
Menyedari keperitan yang dihadapinya, Astro Arena dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) tampil menghulurkan bantuan dalam bentuk keperluan harian serta rawatan perubatan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAKEB kerana banyak membantu saya, terutama semasa pandemik COVID-19.
"Ketika itu, saya tidak dapat keluar bekerja dan pergerakan saya sangat terbatas.
"Alhamdulillah, wakil dari YAKEB sering menghubungi saya dan menghantar bantuan.
"Saya amat bersyukur," katanya lagi.
Semoga kisahnya menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video