SUKAN LAIN
Program Podium: Sukan gagal capai sasaran berdepan risiko
Persatuan sukan kebangsaan yang gagal mencapai sasaran dalam Sukan Komanwel Gold Coast, Sukan Asia Indonesia 2018 dan Sukan SEA Filipina bulan lalu perlu bersedia untuk menanggung penurunan taraf dalam Program Podium, termasuk penamatan kontrak jurulatih.
Majlis Sukan Negara (MSN) memanggil 22 persatuan sukan kebangsaan dalam Taklimat Program Podium 2020 di Auditorium MSN semalam.
Pegawai persatuan perlu menyediakan laporan untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN bermula awal bulan depan.
Iklan
Keputusan mesyuarat itu akan menjadi kunci untuk mengenal pasti bentuk tindakan yang perlu diambil, terutama bagi sukan yang gagal mencapai sasaran sepanjang dua tahun ini.
"Berdasarkan penelitian kami, ada sesetengah sukan terlalu selesa sehingga tidak dapat beraksi baik dalam temasya yang diletakkan sasaran.
"Kami harap melalui penilaian semula ini, mereka dapat melihat kembali program latihan mereka dan keberkesanan jurulatih dalam program latihan itu," kata Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefry Ngadirin.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, menambah: "Kami melalui sesi penilaian semula Sukan SEA 2019.
"Seterusnya masih ada dua sesi lagi, termasuk mesyuarat jawatankuasa kerja.
"Ia berkaitan bagaimana program ragbi 7's lelaki dan wanita hendak diteruskan bagi temasya yang seterusnya," katanya.
Editor: Muzaffar Musa
Must-Watch Video