Program Podium tidak lagi bersifat pengurusan eksklusif dan kini sepenuhnya diambil-alih Institut Sukan Negara (ISN) selepas Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Memasuki tahun ketiga penubuhan Program Podium, entiti itu akhirnya sepenuhnya berada di bawah pengawasan Institut Sukan Negara (ISN).

Hal ini dinyatakan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr Mohd Khairi Zawi, yang mengesahkan akan ada rombakan melibatkan bahagian pengurusan Program Podium dan juga ISN selepas Sukan Komanwel lalu.

"Pada pasca Sukan Komanwel, saya boleh katakan Program Podium barulah benar-benar (diserapkan) di bawah ISN.

"Sebelum 2016 sehinggalah Sukan Komanwel, Program Podium adalah satu entiti tersendiri.

"Tetapi selepas Sukan Komanwel, barulah diasimilasi Program Podium di bawah ISN, " ujarnya.

Dr Khairi turut memberi bayangan bahawa pencapaian atlet Program Podium dalam Sukan Komanwel gagal menepati sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI), iaitu dalam kalangan 10 terbaik keseluruhan.

Bagaimanapun, masih belum terlalu jauh untuk kembali mendapatkan semula prestasi sebenar atlet negara menjelang saingan Sukan Asia Jakarta-Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September depan.

"Saya tidak mahu menggunakan istilah gagal tetapi apa sahaja kejayaan mahupun kegagalan, bagi saya Program Podium menuju landasan yang tidak terlalu jauh sasarannya.

"Mungkin kita terlalu dipengaruhi dengan kegagalan mencapai kelompok 10 terbaik Sukan Komanwel," katanya lagi.