HOKI
Piala Sumbangsih: UniKL ketepi cabaran THT julang kejayaan
Penyerang pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Roel Bovendeert, muncul wira apabila meledak gol kemenangan untuk menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 bagi menjulang Piala Sumbangsih buat julung kalinya di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan mempamerkan kekuatan seimbang tetapi UniKL ternyata lebih bijak apabila menggunakan kesempatan untuk menjulang Piala Sumbangsih.
Beberapa khidmat pemain dituntut, terutama penjaga gol, David Albert, untuk menggalas ketiadaan David Harte yang masih belum tiba di Malaysia sambil Razie Rahim menyudahkan 100 peratus peluang pukulan sudut penalti dengan menyumbat dua gol, disusuli jaringan kemenangan Bovendeert.
Iklan
Pertahanan kebangsaan itu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum Faizal Saari meletakkan THT di hadapan menerusi ledakan pada minit ke-25 dan 36.
Bagaimanapun, sentuhan Razie kembali mengimbangi kedudukan (m-37) sementara gol Bovendeert (m-50) memastikan UniKL merangkul trofi pertama musim ini.
"Kami bermula dengan bagus tetapi pada satu ketika, permainan kami mula kelam-kabut apabila kerap kehilangan bola di bahagian pertahanan.
"Itu mendorong saya menjerit lebih kuat sambil mengarahkan pemain supaya bertenang dan menolak bola ke tepi," kata jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.
Sementara itu, jurulatih THT, Dhaarma Raj Abdullah, menganggap langkah sumbang itu disebabkan satu faktor.
"Saya berasakan UniKL sebuah pasukan yang sangat mantap tetapi tidaklah seperti yang saya sangkakan.
"Kami memiliki peluang yang cukup bagus dalam perlawanan ini tetapi pukulan sudut kami yang membuatkan kami kalah," katanya.
Editor: Shaiful Shamsudin
Must-Watch Video