Skip to main content

Sukan Lain

Persiapan Sukan Asia tidak terjejas -- Norza

norza-zakaria.jpg
Persiapan kontinjen negara ke Sukan Asia di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September depan tidak terjejas susulan peralihan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), baru-baru ini.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata sebuah pasukan petugas sudah diwujudkan khusus untuk memantau persiapan ke Sukan Asia dan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan menteri yang akan menjaga portfolio sukan, selepas Kabinet baru diumumkan.

“Setakat ini, proses Sukan Asia tidak terganggu kerana kami sudah tubuhkan pasukan petugas. Kami pun sudah ada senarai sukan apa yang akan menyertai temasya sukan itu dan selepas ini kami perlu lebih teliti untuk menentukan jumlah dan senarai pendek nama atlet. 

“Kami juga sedang menunggu peluang bertemu menteri sukan yang baru dan berharap untuk teruskan hubungan positif supaya kami dapat menjelaskan hala tuju Sukan Asia.

"Lebih penting, kami mahu rakyat Malaysia tahu kami sedang berusaha keras untuk mencapai pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Apa jua perancangan kerajaan, kami sedia bekerjasama,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif pertama MOM di Wisma OCM di ibu negara, hari ini.

Norza, yang baru memulakan tugas sebagai presiden MOM pada 5 Mei lalu, berkata pasukan petugas itu akan diketuai Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, dan dibantu Timbalan Presiden, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, yang juga ketua kontinjen negara ke Sukan Asia.

Pada masa ini, tambahnya, tugas pertama pasukan tersebut ialah melengkapkan senarai pendek atlet ke Sukan Asia.

Sementara itu, Norza turut mengesahkan 12 atlet daripada tiga jenis sukan sudah layak ke Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, dari 6 hingga 18 Oktober depan.

Mereka adalah pasukan hoki lelaki lima sebelah, pemain ping pong, Choong Javen, serta dua gimnas, Rayna Hoh Khai Ling (gimrama) dan Zarif Iman Khalid (artistik).

Norza berkata mesyuarat hari ini turut melantik pengerusi bagi pelbagai jawatankuasa di bawah MOM bagi penggal 2018-2021.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Datuk Dr S.S. Cheema, berkata baki dua kes doping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, melibatkan sukan angkat berat dan ekuestrian, akan diselesaikan dalam mesyuarat persekutuan itu di Manila, Rabu ini.

--- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video