Bekas kapten kriket negara, Suresh Navaratnam, bimbang impian ke Piala Dunia T20 di Australia pada 2020 akan terkubur jika Kinrara Oval diambil alih pihak pemaju.
Persatuan Kriket Malaysia (MCA) sedang berusaha menyelamatkan Kinrara Oval yang diiktiraf antara padang kriket terbaik di Asia.
Venue yang mula digunakan pada 2003 itu berdepan risiko diambil alih pihak pemaju sebagai pemilik tapak berkenaan.
Apa yang dibimbangkan, kesannya terhadap sukan kriket akan terjejas secara menyeluruh, bermula daripada program pembangunan hingga ke misi ke Piala Dunia.
"Venue ini dianggap gelanggang keramat pasukan Malaysia.
"Masalahnya apabila ramai pemain senior yang turun padang, pemain muda terpaksa bergantung kepada padang persendirian.
"Ketika Kinrara Oval mula dapat digunakan, ia mencetuskan impak apabila lebih banyak permainan kriket diadakan di sini.
"Kami tidak perlu risau tentang soal kewangan kerana dapat menggunakan kemudahannya.
"Sukan kriket di Malaysia semakin meningkat dalam tempoh 15 tahun dan ketika ini pun, bakat yang telah kami gilap telah melangkaui pencapaian 20 tahun lepas," katanya.
Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B Zon Asia Kejohanan Kelayakan Piala Dunia T20, Rabu ini.