Skip to main content

Sukan Lain

Penilaian akhir buat pesilat negara

nasri.jpg
Jurulatih silat negara, Nasri Nasir, dalam proses penilaian akhir sebelum memutuskan 10 pesilat yang akan membawa cabaran Malaysia dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos nanti.

Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sebelum ini menetapkan Terbuka Belgium yang berlangsung awal bulan ini sebagai medan penilaian untuk pesilat negara ke Sukan Asia.

Walaupun sudah mempunyai bayangan siapa bakal tersenarai, Nasri tidak terburu-buru dalam menamakan pesilat yang menjadi pilihannya.

Senarai akhir dijangka akan diketahui selewat-lewatnya pada awal Jun.

Tiga negara menjadi pilihan buat Nasir membawa pesilat negara menjalani latihan serta pertarungan simulasi iaitu Filipina, Indonesia serta Vietnam sebelum menghadapi cabaran dalam Sukan Asia.

"Ada beberapa lagi rombakan tetapi tidak lah menyeluruh. Seperti pihak Pesaka telah maklumkan, kita mahu pasukan kita yang pergi ke Sukan Asia adalah pasukan terbaik, iaitu terdiri daripada atlet yang benar-benar layak," kata Nasri.

Sementara itu, Nasri mengakui sedikit kecewa dengan keputusan yang tidak memihak pesilat negara pada saingan Terbuka Belgium tempoh hari.

Hanya dua emas berjaya dibawa pulang skuad negara berbanding lima emas yang diraih pada pertandingan yang sama tahun lalu.

Mohd Al-jufferi jamari serta muhammad Robial Sobri mempertahankan gelaran selepas menewaskan lawan masing-masing di final.

"Kami memang tidak mencapai sasaran kami. Sebenarnya, kami menjangkakan kami boleh mencapai empat atau lima pingat emas. Kami sudah melayakkan diri ke perlawanan akhir, cuma nasib tidak menyebelahi kita," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video