Skip to main content

Sukan Lain

Pelari jarak jauh negara rindukan Rono

pelarijarakjauh.jpg
"Kami masih perlukan jurulatih Rono," demikian luahan sebahagian pelari jarak jauh negara yang rindukan bimbingan jurulatih dari Kenya, Samuel Kipsang Rono, selepas kontraknya tamat tahun ini.

Perkara itu disuarakan mereka sejurus berakhirnya Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia semalam, sambil menganggap mereka masih memerlukan khidmat jurulatih itu.

K. Prabudass, yang merangkul pingat perak acara 5,000 meter dalam kejohanan itu, berkata ketiadaan Rono benar-benar memberi kesan dan menganggap pingat perak yang dimenangi negara dalam Sukan SEA lalu adalah hasil bimbingannya. 

"Jurulatih Rono memiliki pengalaman yang banyak sebab dia pernah melatih atlet Olimpik. Pengetahuannya juga tinggi. Itu yang banyak membantu saya dalam latihan daripada segi taktikal," katanya.

Dalam pada itu, pemenang pingat emas 800m lelaki, Royson Vincent, juga tidak memahami kenapa kontrak Rono tidak disambung memandangkan dia merupakan jurulatih berpengalaman yang telah melahirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2000. 

"Dia seorang jurulatih yang bagus. Saya tahu. Ramai yang mencipta catatan peribadi terbaik kerananya dan kita juga mememangi emas lari jarak jauh dalam Sukan SEA tahun lalu," kata Royson.

Rono kini bakal membimbing pelari muda di bawah program Majlis Sukan Negeri Selangor untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, di mana pemenang pingat emas 800m wanita Terbuka Malaysia, Savinder Kaur, akan kembali dilatih olehnya bagi persediaan ke temasya itu pada September depan.

"Saya masih mengikuti program latihannya (Rono). Saya berhubung dengannya melalui Whatsapp.

"Saya akan bertanding dalam Sukan SEA 2019 dan dia akan bersama Selangor. Dia akan tiba hujung bulan ini, saya akan tunggunya," kata Savinder.

Advertisement

Must Watch Video