SUKAN LAIN
Pandelela gagal tambah koleksi pingat di Kazan
Penerjun negara, Pandelela Rinong, gagal menambah koleksi pingat peribadinya dalam final 10 platform wanita Siri Terjun Dunia FINA 2018 di Kazan, Russia apabila menamatkan saingan di kedudukan terakhir, awal pagi tadi.
Penerjun berusia 25 tahun itu sekadar mengutip 318.65 mata menerusi lima terjunan untuk menduduki tempat keenam dan terakhir dalam saingan akhir itu.
Atlet berasal dari Sarawak itu memenangi pingat gangsa dalam acara 10m platform serirama wanita ketika bergandingan dengan Cheong Jun Hoong, Jumaat lalu.
Iklan
China meneruskan penguasaan dalam kejohanan itu apabila menduduki tempat teratas acara berkenaan menerusi pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Ren Qian, yang mengumpul 389.10 mata.
Pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik penerjun Korea Utara, Kim Mi-rae (362.35 mata) dan Melissa Wu (351.80 mata) dari Australia.
Dalam pada itu, Jun Hoong gagal meloloskan diri ke final acara berkenaan apabila menduduki tempat kelima daripada enam penerjun di peringkat separuh akhir A selepas mengutip 296.10 mata.
-- BERNAMA
Must-Watch Video