Skip to main content

Hoki

Oltmans tenang hitung masa depan, fokus kempen April

roelant-oltmans.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, ingin memberikan fokus kepada persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi saingan 2020 tanpa memikirkan status jawatan yang disandangnya itu mungkin berakhir Oktober depan. 

Pengendali berusia 65 tahun itu gagal mencapai objektif utama ketika menandatangani kontrak pada Oktober 2018, iaitu diwajibkan membawa Malaysia ke pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Oltmans bersedia dengan sebarang keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), termasuk jika badan induk itu terpaksa menamatkan kontraknya hujung tahun ini.

"Sejujurnya itu perkara biasa dalam soal kontrak. Pastinya akan ada pengakhiran dalam sesuatu kontrak. 

"Saya juga rasakan bahawa pihak pengurusan KHM sedang meneliti prestasi keseluruhan pasukan. 

"Saya tidak pastikan akan ada barisan kejurulatihan yang akan kekal atau kembali bersama pasukan," katanya. 

Selain itu, pengendali dari Belanda berkenaan turut menantikan keputusan badan pentadbir hoki negara tersebut bagi status tiga individu, iaitu bekas jurulatih kebangsaan, Stephen Van Huizen, di samping pengurus pasukan, Mohd Nasihin Nubli dan Muhammad Amin Rahim, untuk membantunya menjelang Piala Sultan Azlan Shah, April depan. 

"Buat masa ini, ada beberapa persoalan yang tidak boleh saya jawab. Segalanya terserah kepada KHM. 

"Pihak pengurusan akan berjumpa jurulatih dan pemain sebelum bermulanya kejohanan.  

"Barisan penuh kejurulatihan skuad hoki negara akan diumumkan KHM kelak. Jadi, kita tunggu dan lihat," tambahnya.



Editor: Shaiful Shamsudin

Advertisement

Must Watch Video