Skip to main content

Sukan Lain

Olahraga Terbuka Malaysia 2018: Peraturan 'false start' diperkenalkan

lumba-lari_1.jpg
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, menegaskan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 yang bermula esok akan melaksanakan sepenuhnya peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dengan atlet yang melakukan kesilapan permulaan perlumbaan akan terus tersingkir.

Di bawah peraturan IAAF, mana-mana atlet yang melakukan kesilapan permulaan akan terus disingkirkan, sekali gus memusnahkan usaha dan pengorbanan mereka dalam pemburuan kejuaraan.

"Peraturan ini sepertimana yang digunakan di peringkat antarabangsa kerana kami menggunakan sistem eletronik sepenuhnya. 

"Ia boleh membuktikan jika seseorang atlet itu melakukan kesilapan ketika permulaan perlumbaan. Dengan itu, kami tiada pilihan lain selain terpaksa menyingkirkan seseorang atlet itu sekalipun dia merupakan atlet handalan.

"Bukan kami mahu membuktikan sesuatu kepada IAAF, sebaliknya ia bertujuan untuk memberi ilmu kepada jurulatih dan atlet supaya mengikut peraturan," katanya.

Antara atlet dunia yang pernah melakukan kesilapan permulaan ialah legenda Jamaica, Usain Bolt, dan jaguh 400m dari United Kingdom, Christine Ohuruogo.

Bagi Malaysia, raja pecut, Khairul Hafiz Jantan, pernah melakukan kesilapan berkenaan semasa Kejohanan Kejohanan Asia tahun lalu, yang secara tidak langsung menjadi mimpi ngeri terhadapnya dalam aksi separuh akhir Sukan Komanwel Gold Coast, bulan lalu. 

Terbuka Malaysia 2018 menyaksikan Jordan dan Thailand menjadi pasukan terakhir yang mengesahkan penyertaan untuk melengkapkan senarai sembilan negara yang mengambil bahagian.

Advertisement

Must Watch Video