OLAHRAGA
Olahraga: Rahmat di sebalik kehilangan upaya -- Ashraf
Peristiwa hitam yang meragut tangan kiri atlet pecut para negara, Mohd Ashraf Muhammad Haisham, perlahan-lahan berjaya dilupakan apabila ia diserikan dengan kilauan pingat emas di pentas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, hari ini.
Kemalangan yang menimpa pada tahun 2013 mengubah sepenuhnya hidup Ashraf, yang ketika itu berusia 17 tahun apabila terpaksa bergelut untuk membiasakan diri tanpa tangan kiri.
Namun, kebangkitan yang dilakukannya sehingga berjaya meraih satu emas dan perak, masing-masing dalam acara 800m T46 dan 1,500m dalam Sukan Para ASEAN pertamanya di Singapura dua tahun lalu, semakin memberi sinar baru kepada Ashraf untuk tidak berputus asa dalam hidup.
Iklan
Apatah lagi untuk edisi ini, dia terus cemerlang mempertahankan gelaran juara bagi acara 800m dengan catatan 2 minit 04.05 saat tetapi sedikit hampa kerana gagal memperbaharui rekod kejohanan miliknya sendiri, iaitu 2:03s.
“Alhamdulillah, selepas hilang tangan, ada hikmahnya apabila saya dapat mewakili Malaysia.
"Kalau diikutkan, saya tidak fikir mampu mewakili Malaysia kerana faktor keseimbangan badan ketika berlari.
"Tetapi, demi ibu-bapa, saya kuatkan semangat,” kata Ashraf.
Usaha atlet dari Perak itu tidak terhenti setakat ini apabila akan cuba merampas emas bagi acara 1,500m pula esok dan 400m (Khamis) untuk mencapai misi peribadi menyapu bersih tiga pingat emas dalam temasya ke-9 ini.
“Saya memang menyasarkan emas dalam acara 1,500m yang menjadi kegemaran saya.
"Saya harap semua pihak dapat mendoakan saya lagi.”
Sementara itu, Felicia Mikat gagal untuk mempertahan emas bagi acara 400m T13 apabila terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mencatat 67.43s.
Namun, dia sememangnya tidak meletakkan sasaran emas kerana sedar masih bergelut dengan kecederaan dan ingin memperbaharui masa peribadi bagi acara 200m pula, iaitu 30.40s.
S. Thavanesvaran pula menganggap emas bagi acara 400m T44 sebagai bonus kerana sasaran sebenarnya adalah bagi 100m dan 200m yang menjadi acara kegemarannya.
"Jurulatih memberi panduan kepada saya ketika menghadapi selekoh dan dalam 100 meter terakhir, saya membuat pecutan sehingga berjaya," katanya.
Must-Watch Video