NSL
NSL: Johor Jewels ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B
Johor Jewels mara ke separuh akhir Netball Super League (NSL) selaku juara Kumpulan B selepas menewaskan Selangor Angels 65-51 di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.
Menjelang pertembungan blokbuster itu, kedua-dua pasukan, yang telah mengesahkan laluan lebih awal, terikat 13 mata dengan rekod tanpa kalah dan apa yang menjadikan perlawanan itu lebih dinanti-nantikan adalah Jewels dan Angels turut terikat 50-50 dalam perlawanan pembukaan musim ini.
Jewels memperoleh lima mata pertama dengan penyerang utama mereka, Aina Ruziani, kelihatan cukup produktif sehingga Angels terpaksa melakukan pertukaran awal memasukkan perancang utama, Yeoh Pek Xian.
Iklan
Dan momentum itu diteruskan pasukan selatan tanah air berkenaan untuk menamatkan suku pertama dengan di depan 15-10.
Selangor kembali memperkemaskan aksi dalam suku berikutnya dengan An Najwa Azizan mula mempamerkan permainan terbaiknya di depan jaring untuk Angels bangkit mendahului 29-27.
Bagaimanapun, mereka gagal mengekalkan momentum itu dengan gandingan Johor, Aina dan Ezzaini Nor, semakin rakus memungut mata demi mata bagi menamatkan suku ketiga dengan kelebihan 47-40.
Jewels akhirnya mengesahkan status mereka selaku juara Kumpulan B selepas menamatkan saingan terakhir peringkat kumpulan itu dengan kemenangan 65-51.
Selaku juara, Jewels akan berdepan Perak Phoenix dalam separuh akhir manakala Angels pula akan bertemu juara Kumpulan A, KL Wild Cats.
Must-Watch Video