Skip to main content

Sukan Lain

Nixson, Benedict raih emas dalam Terbuka Thailand

nixson-kennedy.jpg
Skuad olahraga Malaysia memulakan aksi dalam Kejohanan Trek dan Balapan Terbuka Thailand 2018 di Bangkok dengan kejayaan meraih dua pingat emas, semalam.

Pelari pecut negara, Nixson Kennedy, memenangi emas dalam acara 100 meter lelaki selepas melakukan catatan terbaik musim ini dengan 10.57 saat dalam saingan final setelah merekodkan 10.69s di peringkat separuh akhir.

Pelari Taiwan, Tai-Sheng Wei, meraih perak dengan catatan 10.63s manakala atlet tuan rumah memenangi gangsa menerusi catatan 10.66s.

Kejayaan Nixson itu memberi semangat kepada Benedict Ian Gawok untuk mengutip emas kedua negara dalam acara 110 meter berpagar remaja lelaki, apabila turut melakukan catatan masa terbaik musim ini dengan 14.54s di peringkat akhir, selepas mencatat masa yang sama di peringkat saringan.

Dua pelari tuan rumah memenangi perak dan gangsa dalam acara berkenaan.

Sementara itu, Mohd Rizzua Haizad Muhammad sekadar menamatkan cabaran di tempat keempat dalam acara 110 meter berpagar lelaki selepas merekodkan 14.51s dalam final.

Pelari Korea Selatan, Lee Jung Joon, memenangi pingat emas dengan catatan 14.30s, manakala Clinton Kingsley Bautista (14.37s) dari Filipina dan Anousone Xayxa (14.47s) dari Laos, masing-masing meraih perak dan gangsa.

Dalam kategori wanita, Shereen Samson Vallabouy mara ke final acara 400m esok selepas mencatat masa 55.83s dalam Saringan 3.

Kredit foto: Berita Harian

Advertisement

Must Watch Video