Skip to main content

Futsal

MPFL: KAFA sasar kedudukan enam terbaik

trw.jpg
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyasarkan kedudukan enam terbaik daripada 12 pasukan dalam Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) yang akan berlangsung Mac depan.

Presidennya, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata sasaran itu ditetapkan bagi membolehkan Kelantan FA melayakkan diri ke saingan Liga Futsal Kebangsaan musim ini.

"Penyertaan Kelantan dalam  saingan MFPL ini diharapkan dapat memeriahkan lagi suasana bola sepak Kelantan selepas penyertaan pasukan The Red Warriors dalam saingan Liga Malaysia.

"Kelantan dilihat sedikit ketinggalan dalam arena sukan futsal selepas setahun tidak menyertai MPFL kerana gagal melepasi saringan pada 2018,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Rahim berkata Kelantan akan diperkuatkan dengan lapan pemain yang sebelum ini pernah beraksi dalam saingan MFPL, termasuk seorang pemain kebangsaan.

"Sekarang ini kami dalam proses perbincangan bagi menandatangani kontrak pemain terlibat dan tidak boleh mendedahkan senarai tersebut bagi menjaga kepentingan bersama.

"Kami yakin dengan kehadiran lapan pemain ini serta pemain tempatan, kami mampu mencapai sasaran,” katanya.

Beliau juga menjelaskan skuad Kelantan diuruskan oleh syarikat ZM Marketing & Suppliers yang mempunyai pengalaman menguruskan pasukan futsal Kuala Lumpur sebelum ini.

"Mereka akan menguruskan segala keperluan pasukan sepanjang kejohanan itu."

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video