SUKAN LAIN
Malaysia hilang lubuk emas
Malaysia harus sukar untuk mengulangi pencapaian kutipan pingat emas Sukan SEA 2017 melihat kepada pemilihan tuan rumah, Filipina, dalam mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) baru-baru ini yang jelas tidak memihak kepada acara yang menjadi lubuk emas kontinjen negara.
Hal itu dinyatakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, yang membawa tanggungjawab kali pertamanya selaku presiden MOM dalam mesyuarat SEAGF bagi pemilihan awal 30 jenis sukan.
Selain daripada banyak sukan lubuk emas Malaysia yang digugurkan, Norza juga menyuarakan kebimbangannya bagi pemilihan acara daripada pasukan tuan rumah seperti mana yang berlaku dalam sukan berbasikal di mana tiada acara trek dipertandingkan.
Iklan
"Saya harus mengatakan ia agak mustahil kerana seperti yang saya jelaskan sebelum ini, kali ini kami berpandukan sukan-sukan yang ditentukan oleh tuan rumah.
"Contohnya, badminton. Jika sebelum ini ada tujuh acara, saya berasa pihak Filipina tidak mahu menjalankan ketujuh-tujuh acara itu," kata Norza.
Bagaimanapun, tempoh rayuan hanya akan berakhir 13 Jun depan dan Malaysia perlu membuat rundingan dengan wakil SEAGF yang lain, terutama membabitkan sukan berpotensi negara seperti bola jaring, luncur air, hoki dan silat.
"Pertama sekali, kami ingin berbincang kerana kami juga ingin melihat persediaan persatuan-persatuan sukan. Jika kami melakukan rayuan, kami harus memastikan ia menerima sokongan daripada negara-negara lain," jelasnya.
Antara sukan baru yang termasuk dalam senarai awal 30 sukan yang disenaraikan Filipina ialah arnis, sukan tarian dan gusti.
Must-Watch Video