Skip to main content

Hoki

LHM: THT perlu lebih tajam - Fitri

tht-vs-unikl.jpg
Kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT), Fitri Saari, mengakui faktor nasib menjadi pemisah ketika kalah 2-3 kepada UniKL dalam aksi pertama Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Nasional 1, Bukit Jalil malam tadi. 

Menurutnya, THT beraksi lebih baik tetapi gagal menyudahkan peluang terhidang, sebaliknya dihukum dengan dua pukulan sudut penalti pasukan lawan.

Malah, keputusan pengadil perlawanan yang tidak memihak mereka juga membawa kepada gol kemenangan UniKL hasil serangan balas Roel Bovendeert pada minit ke-50.

Enggan mengulas lebih lanjut mutu pengadilan malam tadi, Fitri berkata THT lebih berhak untuk menang dan mereka tiada pilihan selain bangkit ketika menentang TNB Thunderbolt di venue yang sama esok.

"Satu stadium nampak bola terkena kaki pemain UniKL, namun tidak diendahkan.

"Sepatutnya kami boleh menang 4-3 atau 5-3 tetapi tiada rezeki untuk THT," katanya.

Dalam aksi malam tadi, dua gol padang Faizal Saari pada minit ke-26 dan ke-36 tidak mencukupi buat THT memulakan kempen LHM dengan langkah kanan.

Sebaliknya, UniKL lebih unggul meraih tiga mata hasil jaringan pukulan sudut penalti Razie Rahim (m-19, 37) serta gol ketiga daripada Bovendeert.

"Apabila bertemu lawan yang sama handal, pasukan yang manfaatkan peluang akan menang dan itu yang terjadi.

"THT tidak boleh lagi keciciran mata dan kami akan bangkit selepas ini, tiada masalah," kata Faizal.

Kredit foto: Pasukan Hoki Terengganu (THT)



Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Advertisement

Must Watch Video